top of page

Mesej Pra-Natal: Kemuliaan Tuhan


Lukas 2: 8 - 9

8. Di daerah itu ada gembala-gembala yang tinggal di padang menjaga kawanan ternak mereka pada waktu malam.

9. Tiba-tiba berdirilah seorang malaikat Tuhan di dekat mereka dan kemuliaan Tuhan bersinar meliputi mereka dan mereka sangat ketakutan.


Gembala-gembala pada zaman Perjanjian Baru biasa bekerja pada waktu malam untuk menjaga seluruh ternak domba daripada ancaman binatang buas. Ini merupakan pekerjaan yang rutin bagi para gembala pada zaman itu. Boleh dikatakan bahawa mereka terlatih dalam hal ini dan tidak lagi takut dengan keadaan waktu malam dan ancaman binatang buas.


Namun, ketika kemuliaan Tuhan turun ke atas para gembala melalui kehadiran malaikat Tuhan secara tiba-tiba, kesemua gembala secara mendadak berada dalam keadaan ketakutan. Apa yang kita boleh belajar daripada ini?


Pertama, di hadapan kemuliaan Tuhan, semua kepandaian, kekuatan dan kemegahan manusia tidak dapat bertahan. Semuanya itu akan lenyap kerana kemegahan dan kekuatan hadirat Tuhan. Kesombongan dan keegoan manusia tidak dapat bertahan. Kemuliaan-Nya akan menakluki semuanya itu. Dosa apa pun tidak dapat bertahan di hadapan kemuliaan Tuhan kerana terang kemuliaan Tuhan akan menguasai kegelapan. Manusia tidak akan dapat menyembunyikan apa-apa lagi sehingga yang ada hanyalah ketakutan kerana segala perkara terbongkar di hadapan-Nya. Betapa dahsyatnya kemuliaan Tuhan!


Kedua, tidak ada yang dapat mengawal atau menjangka kemuliaan Tuhan. Siapakah yang dapat menebak-Nya? Kemuliaan Tuhan turun secara tiba-tiba tanpa disangka kerana kemuliaan Tuhan tidak bergantung kepada masa manusia (kronos) tetapi bergantung kepada masa-Nya (kairos). Jadi, rupanya ada dua jenis masa; kronos dan kairos. Mana satukah yang kita mau?


Kalau kemuliaan Tuhan turun hanya pada waktu kairos, saya mahukan kairos kerana saya mahu diubahkan dan dipulihkan oleh kemuliaan Tuhan! Perubahan sejati hanya dimungkinkan oleh kuasa Allah melalui kemuliaan-Nya, bukan oleh kekuatan manusia ataupun dunia ini.


DOA

Tuhan, saya berdoa agar perayaan Natal yang akan menjelang ini akan menjadi kairos yang mengubah umat percaya dan bukan sekadar perayaan biasa secara rutin, dalam nama Yesus, amin.


Pr Roy Dinsim

bottom of page