Lukas 2: 15 - 16
15. Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke sorga, gembala-gembala itu berkata seorang kepada yang lain: “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat apa yang terjadi di sana, seperti yang diberitahukan Tuhan kepada kita.”
16. Lalu mereka cepat-cepat berangkat dan menjumpai Maria dan Yusuf dan bayi itu, yang sedang berbaring di dalam palungan.
Walaupun malaikat-malaikat itu telah pun meninggalkan para gembala, kesan kemuliaan Tuhan daripada lawatan ilahi itu masih berterusan. Kesan yang paling ketara adalah para gembala saling mengajak satu sama lain pergi ke Betlehem pada malam itu juga untuk melihat sendiri perkara yang diberitahukan kepada mereka melalui perantaraan malaikat.
Bukankah para gembala itu sedang bekerja? Malam itu mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kawanan domba mereka di padang (ayat 8). Adakah para gembala sudah lupa akan pekerjaan dan tanggungjawab mereka? Apakah yang telah terjadi sehingga mereka berubah haluan?
Saya percaya bahawa keutamaan yang ada di dunia dan di Syurga adalah dua hal yang berbeza. Seperti para gembala, sebelum mereka mengalami lawatan Allah yang luarbiasa melalui perantaraan malaikat itu, mereka sedang melakukan rutin harian mereka iaitu pekerjaan menjaga kawanan domba. Itulah keutamaan mereka untuk kelangsungan hidup dan menjaga keluarga.
Namun, ketika malaikat melawat para gembala dengan membawa kabar kelahiran Juruselamat, prioriti para gembala berubah, sekurang-kurangnya pada waktu itu untuk suatu tempoh yang khusus. Mereka telah menerima keutamaan yang baru, keutamaan yang bukan berasal daripada dunia tetapi daripada Syurga. Itulah sebabnya mereka cepat-cepat berangkat untuk berjumpa dengan Maria, Yusuf dan bayi Yesus. Semuanya ini disebabkan oleh kemuliaan Tuhan yang berlaku tanpa diduga oleh sesiapa pun.
Saudara-saudari, seperti para gembala, saya juga rindu keutamaan saya dibaharui oleh Tuhan iaitu keutamaan yang didorong oleh Roh Kudus dan bukannya oleh hal-hal duniawi beserta dengan kesibukannya semata-mata. Keutamaan yang dibaharui oleh kemuliaan Allah memberikan cara pandang yang segar kepada para gembala. Mereka mempunyai semangat, pengarahan hidup dan ketajaman rohani yang baru.
Saya berdoa agar menjelang perayaan Natal ini, hidup kita juga diperbaharui dan disegarkan sehingga keutamaan hidup kita sekali lagi diselarikan dengan keutamaan Tuhan serta tidak bersifat duniawi semata-mata. Tuhan memberkati!
Pr Roy Dinsim
top of page
Support Us
Support Us
bottom of page
Comments