Mintalah daripada Allah
- Komuniti Digital 05
- 2 days ago
- 1 min read

“Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.” Lukas 11:9 AVB
Tuhan Yesus telah mengajar para murid-Nya supaya berdoa memohon keperluan jasmani yang secukupnya, pengampunan dan perlindungan daripada Bapa yang di syurga. Dia mengajar mereka tentang pentingnya berdoa kepada Allah demi kesejahteraan diri mereka.
Kelihatan Tuhan Yesus mengajar mereka untuk meminta daripada Allah. Walaupun Allah sesungguhnya mengetahui apa yang diperlukan mereka, tetapi mereka masih harus meminta apa yang diperlukan daripada-Nya secara peribadi bagi diri mereka. Sebab Allah memberi mereka kebebasan untuk bertindak bagi diri mereka.
Dengan itu, mereka harus meminta daripada Allah secara peribadi tentang keperluan mereka. Sebab hubungan mereka dengan Allah adalah seperti hubungan anak dengan bapa. Apabila si anak meminta sesuatu daripada bapanya, si bapa pasti akan memberikannya. Begitu juga hubungan mereka dengan Allah sebagai Bapa mereka. Sememangnya apabila mereka meminta sesuatu, maka Dia sebagai Bapa yang baik tentu akan mengabulkan permintaan mereka.
Kesimpulannya, marilah kita menyampaikan segala keperluan kita kepada Allah yang menjadi Bapa kita. Dialah Bapa yang mengenal hati kita dan tahu memberikan yang terbaik bagi diri kita. Oleh itu, janganlah sesekali ragu-ragu atau jemu datang memohon pertolongan daripada-Nya yang maha berkuasa. Dia sebagai Bapa kita yang baik pasti akan memenuhi permintaan kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku memohon agar Engkau terus mengajar aku untuk datang kepada-Mu dalam segala perkara. Aku tahu bahawa Engkau Tuhan Allah yang baik dan mengenal hatiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments