top of page

Mohon Campur Tangan Tuhan Yesus


Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.” Murid-murid itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” Lukas 9:13 AVB

 

 

Menjelang senja, dua belas orang murid Tuhan Yesus datang kepada-Nya. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.”

 

Namun  demikian, Yesus bertindak sebaliknya. Dia menyuruh murid-murid-Nya itu untuk memberi orang ramai makanan. Oleh sebab orang  terlalu banyak, iaitu kira-kira lima ribu orang lelaki yang tidak termasuk wanita dan kanak-kanak, maka para murid Yesus  menjadi cemas hati dan tidak mengetahui apa yang harus dilakukan.

 

Mereka melihat jumlah orang yang sangat banyak, maka fikiran mereka terganggu. Mereka langsung tidak terfikir apa yang dapat dibuat kerana pada saat itu mereka  memiliki lima buku roti dan dua ekor ikan sahaja.  Dengan itu, mereka berkata kepada Tuhan Yesus, “Kami hanya ada lima  buku  roti dan dua ekor ikan melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.”

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini sekiranya Tuhan Yesus mengamanahkan kita  sesuatu pelayanan? Apakah yang akan kita katakan kepada Tuhan Yesus tentang apa yang disuruh-Nya kita lakukan? Adakah kita memberikan alasan seperti para murid-Nya?

 

Marilah kita datang kepada Tuhan Yesus dan memohon campur tangan-Nya. Kita berserah diri kepada Tuhan Yesus untuk bertindak bagi pihak kita. Ingatlah bahawa Tuhan Yesus boleh memberikan makanan kepada lima ribu orang berbekalkan lima buku roti dan dua ekor ikan sahaja. Pada hari ini Tuhan Yesus masih boleh melakukan keajaiban yang sama untuk kita.

 

Datanglah kepada Tuhan Yesus untuk memohon berkat dan campur tangan-Nya setiap kali kita hendak melakukan perkara besar demi kemuliaan-Nya. Percayalah kepada-Nya untuk menolong kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memuji dan mengagungkan nama-Mu kerana di hadirat-Mu aku dapat mengalami perkara-perkara yang besar lagi menakjubkan dalam hidup ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page