top of page

Mohon Pertolongan Tuhan daripada Godaan

ree

 janganlah biarkan kami tergoda.’  Lukas 11:4b AVB

 

Setelah memohon pengampunan daripada Allah  atas segala dosa mereka dan juga mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap mereka, Tuhan Yesus seterusnya mengajar para murid-Nya untuk memohon agar Allah melepaskan mereka daripada godaan  yang akan ditempuhi.

 

Oleh itu, Yesus memberitahu murid-murid-Nya supaya mereka berdoa kepada Bapa yang di syurga agar janganlah membiarkan mereka kehilangan iman ketika digoda atau dicubai tetapi menyelamatkan mereka daripada yang jahat.

 

Yesus mengajar mereka untuk memohon agar mereka tidak dibiarkan tergoda. Permohonan ini sememangnya memperingatkan murid-murid-Nya betapa diri mereka cenderung tertarik dengan godaan-godaan  dunia ini.

 

Jelaslah bahawa mereka memerlukan pertolongan dan campur tangan Allah untuk membimbing hidup mereka setiap hari agar mereka tidak tergoda. Alangkah pentingnya mereka  membiarkan Roh Kudus sepenuhnya mengendalikan seluruh hidup mereka setiap hari agar mereka tetap beriman lagi kuat sewaktu menghadapi godaan atau cubaan.

 

Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Selagi kita hidup di dunia, kita memerlukan perlindungan dan bimbingan daripada Allah untuk menolong kita tidak menyerah kalah kepada bermacam-macam godaan, cubaan, dan masalah hidup yang dapat menggoyahkan iman kita.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku mengakui bahawa aku seorang yang lemah dan memerlukan pertolongan-Mu. Aku memohon agar Engkau melindungi dan menjauhkan diriku daripada segala godaan dunia ini. Dalam nama-Mu aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page