top of page

Nama Tuhan


Yesaya 9:6 (TB) (9-5) Sebab seorang anak telah lahir untuk kita, seorang putera telah diberikan untuk kita; lambang pemerintahan ada di atas bahunya, dan namanya disebutkan orang: Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai.


Nama bagi orang Yahudi mewakili identiti, asal-usul, hati dan kepercayaan mereka. Nama-nama Yahudi juga dapat mencerminkan harapan, doa atau jiwa orang tua terhadap anak-anak mereka. Walau bagaimanapun, nama-nama Yahudi dapat berubah seiring waktu kerana pengaruh bahasa, budaya atau agama lain seperti yang berlaku dengan Daniel, Hananya, Misael dan Azarya (nama mereka diubah kepada Beltsazar, Sadrakh, Mesakh dan Abednego).


Namun konsep nama Tuhan dalam ayat di atas berbeza dengan konsep nama yang biasa dilakukan oleh orang Yahudi. Ayat di atas merupakan kutipan salah satu nubuat tentang Mesias iaitu Yesus Kristus yang diilhamkan oleh Allah sendiri melalui nabi Yesaya. Dalam erti kata lain, Allah memperkenalkan diri-Nya sendiri bukan dalam bentuk nama peribadi yang khas tetapi dalam bentuk sifat-sifat dan perbuatan-Nya yang tersendiri. Manusia tidak terlibat langsung dalam memilih sifat-sifat-Nya ini. Hal ini merupakan pewahyuan yang dilakukan oleh Allah sendiri.


Hal yang lebih penting lagi adalah nama-nama tersebut; Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal dan Raja Damai merupakan suatu bentuk anugerah kepada umat-Nya yang mahu percaya kepada-Nya. Nama-nama ini menunjukkan siapa Tuhan itu dan apa yang bakal Dia lakukan dalam kehidupan orang percaya. Jadi, nubuatan ayat di atas bukan sekadar informasi, firman di atas merupakan suatu bentuk berkat yang melengkapi kehidupan kita. Sayang sekali jika kita tidak mengalami sifat dan perbuatan Tuhan ini dalam kehidupan kita.


Jadi, apakah yang perlu kita lakukan? Kita cuma perlu bersedia dan membuka hati selebar-lebarnya untuk menerima! Firman di atas mengatakan "seorang anak telah lahir untuk kita, seorang putera telah diberikan untuk kita", kelahiran dan pemberian ini tidak disebabkan oleh kita tetapi merupakan pilihan dan anugerah Allah sendiri bagi kita. Kita hanya perlu menerima. Saat kita menerima berkat ini dengan penuh keterbukaan, sifat-sifat Allah dan perbuatan-Nya akan masuk ke dalam hidup kita. Haleluyah!


Di hari Krismas ini, kita bukan sahaja bertukar-tukar hadiah dengan sesama. Ingatlah bahawa Allah juga telah memberikan hadiah terbesar dan sempurna iaitu anak-Nya sendiri, Yesus Kristus. Saat kita membuka hadiah tersebut (mengingat dan merenungkan siapa Yesus Kristus), terimalah sifat-sifat-Nya yang sempurna dan utuh yang tidak akan pernah berubah sampai selama-lamanya. Merry Christmas!


Pr Roy Dinsim

bottom of page