top of page

Orang Bijak Memahami Tanda-Tanda Kedatangan Yesus

ree

“Hai  munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat tanda di langit dan di bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami tanda-tanda zaman ini?” Lukas 12:56 AVB

 

Tuhan Yesus menegur orang ramai kerana mereka tidak memahami jalan Tuhan bagi hidup mereka. Sayangnya, mereka tidak mempersiapkan diri mereka menurut tanda-tanda zaman itu yang telah dinyatakan Allah kepada mereka. Sebenarnya, mereka  boleh dikatakan  munafik atau berpura-pura beriman kerana mereka nampaknya sangat pandai  meramalkan  cuaca dengan mengamati angin dan awan  untuk mengagak bila hari akan hujan dan bila hari akan panas terik. 

 

Biasanya orang Yahudi  dapat mentafsirkan  tanda-tanda semula jadi daripada keadaan cuaca untuk meramalkan apa yang akan terjadi. Sebagai contoh, apabila melihat  awan naik dari barat walaupun pada permulaannya awan itu kelihatan sebesar telapak tangan, tetapi mereka tahu bahawa dari dalamnya akan tercurah air hujan, dan begitulah berlakunya. Demikian juga apabila mereka melihat adanya angin selatan bertiup, mereka akan berkata bahawa hari akan panas terik, dan begitulah berlakunya.

 

Atas pemahaman mereka tentang keadaan cuaca, maka mereka dapat menjangka apa yang akan terjadi selanjutnya. Dengan itu, mereka dapat tahu tentang waktu mereka patut memasukkan jerami atau gandum ke dalam rumah mereka, atau bila mereka dapat menjemur gandum mereka di luar dan sebagainya.

 

Namun  demikian, Yesus menyifatkan mereka  sebagai "orang  munafik” kerana mereka tidak dapat memahami  pelayanan Yesus dan ajaran-Nya tentang kerajaan Allah. Walaupun mereka mengaku diri mereka sebagai  orang bijaksana yang dapat mentafsir tanda-tanda semula jadi, tetapi sebenarnya mereka jahil dan tidak mengetahui apa-apa, terutamanya tanda-tanda rohani.

 

Oleh sebab itu, Yesus menegur mereka kerana mereka tidak memahami tanda-tanda zaman itu. Mereka tidak dapat menilai bahawa ketika itulah masanya menurut petunjuk-petunjuk mengenai Mesias yang dinubuatkan oleh para nabi dalam Perjanjian Lama.  Mereka juga tidak dapat menilai bahawa Yesuslah Mesias yang ditunggu-tunggu menurut tanda-tanda yang dinubuatkan.  Selain itu, mereka tidak sedar bahawa  ketika itulah waktunya untuk memasuki Kerajaan Allah dan  memperoleh hak-hak istimewa yang ditawarkan oleh-Nya.

 

Bagaimanakah pula dengan diri kita hari ini? Adakah kita mengetahui tanda-tanda zaman ini mengenai kedatangan kembali Tuhan Yesus ke dunia ini? Adakah kita memupuk pengertian rohani mengenai pekerjaan yang dilakukan Allah di serata dunia supaya kita akan siap sedia?


Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk memahami tanda-tanda zaman ini mengenai kedatangan kembali Tuhan Yesus ke dunia ini agar aku dapat menyediakan diriku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page