top of page

Pada-Mu Jiwaku Berlindung


Bacaan Alkitab: Mazmur 56-65


Mazmur 57 menyatakan bahawa Tuhan adalah yang terulung dalam segala sesuatu: “Maha Tinggi Engkau, ya Allah, memerintah langit; dan kemuliaan-Mu di atas seluruh bumi.” (ayat 11) Kerana Tuhan adalah yang tertinggi dalam segala-galanya, Dialah satu-satunya Orang yang boleh kita harapkan dalam semua keadaan. Apabila Daud dikejar oleh orang yang ingin membunuhnya, dia bercakap dengan Tuhan tentang keadaannya dan memohon pertolongan kepada-Nya: “Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku, kerana jiwaku berlindung kepada-Mu” (ayat 1).


Kita mungkin tidak akan berjumpa dengan orang yang cuba membunuh kita tetapi kita dikelilingi oleh masalah, tanggungjawab dan godaan yang boleh menganggu kita dengan mudah. Kadang-kadang orang bercakap perkara yang kesat tentang kita dan kepada kita. Tapi Tuhan menjaga kita. “Kerana kasih-Mu menjangkau langit; dan kesetiaan-Mu mencapai awan.” (ayat 10)


Semua ciptaan memperlihatkan kepada kita kemuliaan Yesus. Tuhan Anak adalah yang pertama dalam gereja; Dia adalah “kepala kepada tubuh,” gereja; dan “permulaan dan anak sulung” (Kolose 1:18). Kerana ini kita sebagai gereja memperoleh kekuatan dan kuasa kita daripada Dia (Efesus 4:15-16). Yesus adalah “batu penjuru utama” gereja, yang telah dibina di atas asas para nabi dan para rasul (Efesus 2:20).


Walaupun Dia adalah Tuhan segala tuan dan Raja segala raja (Wahyu 19:16), Yesus tidak pernah memaksa diri-Nya ke dalam kehidupan sesiapa pun. Dia mahukan hubungan dengan kita berdasarkan kasih sayang dan ketaatan dan bukannya paksaan. Dia menunggu untuk dijemput (Wahyu 3:20) dan terpulang kepada setiap daripada kita memilih untuk berjalan bersama-Nya (Roma 12:1-2). Semoga jiwa kita berlindung kepada-Nya dan semoga kita mengizinkan Yesus ditinggikan ke kedudukan nombor satu dalam hidup kita.


Doa:

Tuhan Yesus, semoga hati kami mendapat penghiburan dan kekuatan apabila kami berada dalam kesusahan kerana Engkau dapat memberi kami ketenangan. Semoga damai sejahtera-Mu yang melampaui segala pengertian terdapat dalam kami. Amin.


Pr Jeffery Chua, NECF




bottom of page