top of page

Pelbagai Tujuan Orang Memberitakan Kristus

  • 8 hours ago
  • 2 min read

 

Ada orang yang memberitakan Kristus kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik.  Filipi 1:15 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus bahawa terdapat beberapa orang yang memberitakan Kristus kerana iri hati terhadap pelayanannya selain ingin bersaing dengannya. Hal ini terbukti daripada sikap mereka apabila Paulus dipenjarakan. Mereka berasa sangat senang hati. Sebab mereka mahu menjadi lebih terkenal atau popular daripada Paulus. Mereka mengajar tentang Kristus untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas. Mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi Paulus yang terpenjara.

 

Walaupun ada orang yang mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang salah tetapi banyak juga saudara saudari seiman yang memberitakan Kristus kerana mereka sungguh-sungguh ingin menyenangkan hati Allah dan meninggikan-Nya. Maka mereka melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa Paulus telah ditugaskan Allah untuk menyebarkan dan mempertahankan Injil.

 

Memang tidak dinafikan bahawa tujuan pemberitaan tentang Kristus banyak terdorong oleh niat dan keinginan hati masing-masing. Sekiranya niat dan hati seseorang itu baik, maka tujuan dia mengisytiharkan Kristus juga baik. Demikian juga dengan mereka yang memiliki muslihat kerana tidak mahu orang lain lebih dihargai daripada mereka.

 

Jelaslah bahawa terdapat dua kumpulan orang yang berkongsi Injil dengan motif yang sangat berbeza. Marilah kita menyelidiki hati kita. Apakah tujuan dan motif kita berkongsi Injil dan melakukan sesuatu dalam pelayanan kita? Pemberitaan tentang Kristus haruslah dilakukan dengan hati yang murni tanpa ada motif peribadi melainkan Kristus ditinggikan, dimuliakan dan dipuji.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, selidikilah hatiku agar aku berkongsi Injil dengan niat yang baik dan ikhlas. Biarlah segala yang aku lakukan terarah kepada kemuliaan nama-Mu. Inilah aku. Pakailah aku sesuai dengan kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.

Comments


bottom of page