Penebusan Melalui Darah Yesus
- Jun 30
- 2 min read

Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya yang dilimpahkan-Nya kepada kita .... Efesus 1:7-8a AVB
Rasul Paulus memberitahu jemaah di Efesus bahawa dalam Kristus mereka atau orang percaya telah ditebus dengan korban darah-Nya sebagai bayaran atas hukuman dosa mereka yang seharusnya ditanggung mereka. Apa yang penting sekali ialah penebusan mereka ini dimungkinkan kerana mereka memiliki hubungan peribadi dengan Yesus Kristus. Mereka menerima limpah kasih kurnia ini kerana mereka dalam Kristus atau hidup bersatu dengan-Nya.
Dalam Kristus Yesus mereka telah memperoleh penebusan. Pada zaman Perjanjian Lama penebusan merujuk kepada tindakan membebaskan seseorang hamba dengan membayar harga tebusannya. Sebelum mereka mengenal Tuhan Yesus, mereka diperhamba oleh dosa dan maut. Maka Tuhan Yesus menebus manusia daripada perhambaan tersebut.
Tuhan Yesus mati di kayu salib dan darah-Nya yang tercurah merupakan harga yang tidak ternilai untuk mendapatkan kebebasan mereka. Disebabkan pengorbanan Yesus, mereka menerima pengampunan daripada segala dosa, iaitu perkataan, perbuatan, atau fikiran yang melanggar hukum Allah.
Betapa diberkatinya semua orang percaya kerana mereka telah menerima pengampunan dosa menurut kelimpahan kasih kurnia Allah terhadap mereka. Semuanya semata-mata kebaikan dan kemurahan hati Allah yang menakjubkan kepada mereka. Pengampunan itu sama sekali tidak diperoleh atas kebaikan atau usaha mereka. Dengan itu, mereka harus memuji Allah atas kebaikan dan kemurahan hati-Nya yang telah dianugerahkan kepada mereka secara berkelimpahan.
Demikianlah juga dengan kita. Melalui kematian dan pencurahan darah Yesus Kristus di kayu salib, kita dibebaskan daripada hukuman dosa. Allah mengampunkan semua dosa kita menurut limpah kasih kurnia-Nya kepada kita. Kasih kurnia itu bukanlah titisan yang secukup sahaja tetapi bertumpah ruah dan berlebih-lebihan demi kita. Sesungguhnya, Allah penuh belas kasihan dan kasih kurnia, panjang sabar serta melimpah kasih-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana mengampuni aku daripada dosa-dosaku. Atas kasih kurnia dan belas kasihan-Mu aku dibebaskan daripada hukuman dosa. Ajarlah aku untuk menjalani hidup yang mentaati firman-Mu dan memuliakan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments