top of page

Pengampunan Tuhan Yesus Mengubah Hidup Kita


'Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.” ' (Lukas 7:47) AVB


Ketika Simon mempersoalkan dalam hatinya tindakan seorang wanita yang datang kepada Tuhan Yesus, lalu berlutut dan menangis di kaki-Nya, Yesus — yang mengetahui isi hati Simon — menegurnya dengan berkata:


“...Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air untuk membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya..."


"...Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku..."


"...Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku..."


Yesus berkata demikian kepada Simon kerana wanita itu menyedari bahawa dosanya yang sangat besar telah diampunkan oleh Tuhan Yesus. Oleh itu, dia sanggup melakukan semua itu kepada Tuhan Yesus tanpa rasa malu atau takut. Dia mahu menunjukkan betapa besarnya kasih dan pengampunan yang telah diterimanya.


Hal yang sama akan berlaku juga kepada setiap daripada kita pada hari ini. Apabila kita menyedari pengampunan Tuhan Yesus atas dosa-dosa kita, maka kita akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyatakan kesyukuran kita kepada Tuhan, tanpa rasa rugi atau malu. Ini kerana kita tahu bahawa melalui pengampunan Tuhan Yesus, hidup kita telah dipulihkan, diperbaharui, dan menjadi lebih bermakna.


Oleh itu, kesedaran akan pengampunan Tuhan Yesus terhadap dosa-dosa kita akan membuatkan kita tidak malu atau takut untuk bersaksi tentang-Nya kepada orang lain. Ini kerana kita sedar bahawa pengampunan Tuhan Yesus lebih berharga daripada segalanya.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu membawa pujian dan kesyukuran atas kebaikan dan kasih-Mu yang sangat besar dalam hidupku. Walaupun aku seorang yang sangat berdosa, Engkau tetap mengasihi aku dan menerimaku seadanya. Terima kasih atas pengampunan-Mu, Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page