top of page

Penuh Roh Kudus: Makna (1)


Lukas 4:1-2 (TB) Yesus, yang penuh dengan Roh Kudus, kembali dari sungai Yordan, lalu dibawa oleh Roh Kudus ke padang gurun. Di situ Ia tinggal empat puluh hari lamanya dan dicobai Iblis. Selama di situ Ia tidak makan apa-apa dan sesudah waktu itu Ia lapar.


Kita telah melihat beberapa mitos tentang kepenuhan Roh Kudus dalam siri renungan sebelum ini. Sekarang, mari kita melihat makna penuh Roh Kudus melalui teks yang sama.

Makna #1: Orang yang penuh Roh Kudus dipimpin oleh-Nya, bukan organ deria ataupun keinginan badani.

Ketika Roh Kudus memenuhi Yesus, pembawaan atau pimpinan pertama-Nya adalah ke padang gurun; bukan pelayanan, bukan kesenangan, bukan juga kesuksesan tetapi ke padang gurun. Di sini, kita dapat melihat bahawa keutamaan Roh Kudus sejurus sahaja memenuhi Yesus adalah padang gurun yang tidak menyenangkan (sila rujuk Penuh Roh Kudus: Mitos #2). Tubuh Yesus juga lemah kerana selama di situ, Dia tidak makan apa-apa. Menurut pemikiran manusia, keadaan ini agak sukar diterima memandangkan semua ini akibat daripada kepenuhan Roh Kudus. Apa sasaran Roh Kudus yang sebenarnya?

Sasaran Roh Kudus adalah peralihan! Bukan lagi organ deria ataupun keinginan badani yang memimpin atau menentukan haluan hidup manusia tetapi kuasa dari tempat yang mahatinggi iaitu Roh Kudus. Kepenuhan Roh Kudus menandakan bahawa tampuk kepimpinan hidup manusia sudah berubah daripada bersifat duniawi kepada sifat syurgawi. Di padang gurun, kelima-lima organ deria Yesus Kristus dilucutkan daripada kekuasaannya. Tidak ada makanan (deria rasa dan penghiduan), tidak ada keselesaan dan keindahan (deria penglihatan dan sentuhan) dan terasing daripada hubungan sosial dan orang ramai (deria pendengaran). Yesus tidak lagi bergantung penuh kepada deria tetapi kepada kekuasaan Roh.

Ini tidak bermakna bahawa kita tidak memerlukan organ deria lagi. Kita masih memerlukannya, namun organ deria perlu diletakkan pada tempatnya. Organ deria tidak pernah diciptakan untuk memimpin kehidupan manusia, itu adalah tempatnya Roh Kudus. Fungsi organ deria adalah membantu kita untuk berhubung dengan alam sekeliling dan merasakannya sehingga kita mampu bereaksi. Organ deria mengarahkan kita untuk makan, minum, berkomunikasi dan berhubungan, namun akhirnya, semua itu perlu kawalan dan pimpinan. Roh Kuduslah pembimbing kita dalam hal ini. Puji Tuhan!

Penuh Roh Kudus tidak menjadikan kita malaikat. Kita masih manusia biasa yang mempunyai nafsu, keinginan badani bahkan dorongan seks sekalipun. Namun, kepenuhan Roh Kudus mengelakkan semua keinginan tersebut mengawal hidup kita. Penuh Roh Kudus tidak menyekat kemanusiaan dan merebut kebebasan kita tetapi lebih kepada mengembalikan kita kepada rencana serta tujuan asal Allah yang menciptakan manusia.

Pr Roy Dinsim

Comentarios


bottom of page