Penyelamatan Jiwa Lebih Penting daripada Segala-galanya
- Komuniti Digital 05
- 2 days ago
- 1 min read

“Apakah untungnya kepada seseorang jika dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?” Lukas 9:25 AVB
Yesus memperingatkan murid-murid-Nya bahawa penyelamatan jiwa lebih penting daripada segala hal dunia ini. Itulah sebabnya Yesus berkata kepada para murid-Nya bahawa apa gunanya sekiranya mereka memiliki semua harta di dunia ini, tetapi diri mereka sendiri kehilangan atau kerugian.
Memiliki segala kebendaan yang ada di dunia ini bukanlah dosa. Akan tetapi, seseorang itu akan terjerumus ke dalam dosa apabila kasihnya terhadap hal-hal dunia ini (harta benda, kuasa, pangkat dan sebagainya) lebih besar daripada kasihnya kepada Tuhan Yesus. Tidak dapat dinafikan bahawa semua tarikan ini akan membawa seseorang itu kepada perangkap dosa yang menjejaskan hubungannya dengan Tuhan.
Itulah sebabnya Tuhan Yesus memperingatkan para murid-Nya supaya mereka lebih mengutamakan penyelamatan jiwa mereka yang hanya diperoleh dalam-Nya daripada segala tarikan yang ada di dunia. Sesungguhnya, tarikan apa-apa jua yang ada di dunia ini tidak sekali-kali dapat menjamin penyelamatan mereka pada hari yang akan datang.
Oleh itu, janganlah kita berasa rugi atau takut akan kehilangan hal-hal dunia, tetapi kita haruslah takut jika kita “kehilangan penyelamatan jiwa kita”. Ingatlah “apakah untungnya kepada seseorang jika dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?”
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk mengucap syukur atas penyelamatan yang Engkau berikan kepadaku. Walaupun aku tidak memiliki apa yang dimiliki oleh orang lain di dunia ini, tetapi aku memiliki-Mu. Menjadi milik-Mu jauh lebih menguntungkan aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments