top of page

Perbenaran Melalui Iman

  • May 29
  • 2 min read

 

... dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan perbenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada Kristus, perbenaran daripada Allah melalui iman. Filipi 3:9 AVB

 

Rasul Paulus berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa hubungan yang baik dengan Allah bukanlah berdasar pada ketaatan seseorang itu pada hukum Taurat. Sebenarnya, untuk memiliki hubungan yang baik dengan Allah, seseorang itu haruslah percaya kepada Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat hidupnya secara peribadi.

 

Itulah sebabnya Paulus memberitahu mereka bahawa Allah tidak berkenan dengan perbenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada Kristus. Perbenaran itu mestilah daripada Allah melalui iman. Dengan kata lain, setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri untuk mengerjakan hukum Taurat mungkin mendapat pujian manusia tetapi sia-sia sahaja di mata Allah Yang Maha Suci dan Benar. Bagi Allah, melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum. Orang yang mengejar perbenaran berasaskan hukum akan gagal mencapainya.

 

Dengan itu, seseorang yang mahu memiliki hubungan yang baik dengan Allah, pertama-tama  harus menaruh sepenuh kepercayaannya hanya kepada Kristus. Sebab hubungan yang baik dengan Allah tidak sekali-kali berdasarkan hasil usaha diri kita sendiri melalui ketaatan kita kepada hukum Taurat, tetapi semuanya berasaskan iman kepada Kristus. Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun. Sebab semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah.

 

Bagaimanakah dengan diri kita? Adakah kita pada hari ini mahu memiliki hubungan yang baik dengan Allah? Marilah kita menaruh seluruh kepercayaan kita kepada Tuhan Yesus sahaja. Jelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di mata Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, “Orang yang benar akan hidup dengan iman.”

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu sahaja. Aku bersyukur kepada-Mu kerana imanku kepada Tuhan Yesus diperhitungkan sebagai perbenaran. Ajarlah aku untuk beribadat kepada-Mu dalam kesucian dan perbenaran sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page