Pergunakan Kesempatan Hidupmu dengan Sebaik-baiknya
- Komuniti Digital 05
- 14 hours ago
- 2 min read

'Tetapi Abraham berkata, ‘Anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati yang baik dalam hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita. ' (Lukas 16:25) AVB
Ketika orang kaya itu memandang ke atas, dia melihat Abraham dari jauh di syurga bersama Lazarus di sisinya. Maka dia berseru kepada Abraham dan berkata, "Bapa Abraham, kasihanilah aku dan suruh Lazarus datang mencelupkan jarinya di dalam air untuk menyejukkan lidahku kerana aku sengsara di dalam nyala api ini."
Namun apabila Abraham mendengar permohonan orang kaya itu, dia menjawab, "anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati yang baik dalam hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita."
Hal ini mengingatkan orang kaya itu tentang kehidupannya di dunia sebelum dia mengalami kematian jasmani. Ketika dia hidup di dunia, dia memiliki segala-galanya, tetapi tidak menggunakan kesempatan hidupnya untuk memuliakan Tuhan. Sebaliknya, dia hidup dalam kemewahan dan berfoya-foya, tanpa mempedulikan kebajikan orang miskin di sekelilingnya sehingga akhir hayatnya.
Oleh itu, apabila tiba waktunya untuk dia meninggalkan dunia ini, segala yang dimilikinya tidak dapat mengubah masa depannya. Segala yang ada di dunia ini hanyalah sementara. Dia sangat menyesal atas apa yang telah dilakukannya semasa hidup. Namun penyesalan selepas kematian jasmani tidak dapat mengubah keadaannya selepas kematian.
Ingatlah, orang kaya itu telah diberi kesempatan hidup di dunia, tetapi dia tidak mempergunakannya untuk memuliakan Tuhan. Akhirnya, dia menerima hukuman atas kehidupannya. Maka, bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Adakah kita telah menggunakan kesempatan hidup kita di dunia ini dengan sebaik-baiknya? Kerana apabila tiba masanya kita meninggalkan dunia ini, kita akan dihakimi.
Di manakah kita akan berada setelah kematian jasmani? Gunakanlah kesempatan hidup ini untuk memuliakan Tuhan.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana memberikan aku kesempatan untuk hidup di dunia ini. Bimbinglah aku agar sepanjang hidupku, aku benar-benar memuliakan nama-Mu dan setia melayani-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments