Perhatikan Burung Gagak
- Komuniti Digital 05
- Aug 7
- 1 min read

'Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberinya makan. Kamu jauh lebih bernilai daripada burung-burung itu! ' (Lukas 12:24) AVB
Yesus ingin memperingatkan para pengikut-Nya tentang ramai orang pada masa itu — dan juga hari ini — yang semakin menjauhkan diri daripada Tuhan disebabkan oleh sikap tamak terhadap harta dunia. Mereka tidak pernah merasa puas walaupun telah memiliki kekayaan yang berlimpah di dunia ini.
Oleh itu, Yesus menasihati pengikut-pengikut-Nya agar memerhatikan burung gagak. Burung itu tidak menanam, tidak menuai, dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, namun Tuhan tetap memeliharanya. Maka, mereka harus sedar bahawa diri mereka jauh lebih berharga daripada burung-burung itu.
Jika Tuhan sanggup memelihara burung gagak — makhluk yang jauh lebih rendah nilainya — sudah tentu Tuhan akan lebih lagi memelihara hidup kita, ciptaan-Nya yang berharga. Maka, kita tidak perlu terlalu khuatir tentang keperluan jasmani kita, kerana Tuhan pasti mencukupkannya.
Jadi, apabila kita mula merasa khuatir tentang keperluan hidup, angkatlah pandangan kita ke langit, Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberinya makan.
Ingatlah, Tuhan tidak pernah melupakan kita. Dia sentiasa menjaga dan memelihara hidup kita.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas kebaikan-Mu yang sentiasa menjaga dan mencukupkan segala keperluanku setiap hari. Oleh itu, aku mahu bersandar hany kepada-Mu untuk membimbing hidupku sepanjang waktu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie
Comments