top of page

Persahabatan Dalam Injil

  • 5 hours ago
  • 2 min read

... kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang.  Filipi 1:5 AVB

 

Rasul Paulus berkata kepada jemaah di Filipi bahawa dia berterima kasih kepada Allah untuk mereka. Sejak hari pertama mereka mendengar dan menerima Injil tentang Tuhan Yesus Kristus, mereka telah banyak menolong dirinya untuk turut mengkhabarkan Injil atau Berita Baik secara aktif dan terus-menerus sehingga sekarang.

 

Hal ini jelas menunjukkan bahawa sukacita Paulus dalam pelayanannya bukanlah kerana kebolehan dirinya tetapi kerana penglibatan, kerjasama, bantuan dan sokongan yang tidak henti-henti diberikan oleh jemaah di Filipi. Oleh itu, Paulus bersyukur kepada Allah atas persahabatan dan perkongsian mereka yang tulus dalam pemberitaan Injil.

 

Jemaah di Filipi bukan setakat mempercayai Tuhan Yesus. Mereka memperlihatkan iman sejati dengan menyokong Paulus melalui doa, sumbangan tenaga, bantuan kewangan, dan perjuangan bersama demi Injil. Sebenarnya, perkongsian mereka bukan sahaja dengan Paulus secara peribadi tetapi berfokuskan maju atau maranya Injil tentang Yesus.

 

Bagaimanakah dengan pemberitaan Injil di gereja kita pada hari ini? Apakah terdapat kebersamaan atau perkongsian antara anggota jemaah dalam pemberitaan Injil? Sebab kebersamaan mengkhabarkan Injil atau Berita Baik memainkan peranan yang penting untuk menciptakan rasa sukacita dan semangat kekitaan dalam pelayanan.

 

Sekiranya tidak atau belum ada, marilah kita bersama-sama memupuk kebersamaan dan perkongsian dalam pengkhabaran Berita Baik di gereja kita dengan melibatkan diri atau memberikan bantuan yang sewajarnya. Kita telah mendengar dan menerima Injil. Tidakkah kita ingin melihat orang lain turut mendengar dan menerima Berita Baik yang akan memberikan cahaya kebenaran dan hidup kekal kepada mereka?

 

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau memberi aku hati yang rela mengambil bahagian untuk mengkhabarkan Injil. Ajarlah aku dan anggota jemaah yang lain untuk bergiat dalam pelayanan berkongsi Injil dengan orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page