top of page

Produk Pengucapan Syukur


Ayat Firman: Yohanes 1: 1 – 15


Kesaksian Singkat:

Dalam perjalanan hidup saya sebagai orang Kristian, satu perkara yang masih begitu segar dalam ingatan saya ialah ketika saya berada dalam peringkat awal mengenal Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat peribadi. Saya menerima Yesus Kristus pada tahun 1996. Waktu itu saya berumur 11 tahun dan masih berada di bangku sekolah rendah (darjah lima). Saya dan keluarga belum ke gereja dan pengenalan saya terhadap Tuhan masih sangat cetek. Namun, satu hal yang jelas pada waktu itu, saya mengenal hadirat dan damai sejahtera Tuhan kerana ketika menerima Yesus Kristus, dua hal inilah yang datang kepada saya dengan begitu deras di tengah-tengah keadaan kemiskinan dan pergolakan hidup keluarga.


Pada waktu itu, saya tidak mengetahui adanya hubungan dengan Tuhan dan saya jarang sekali berdoa. Namun, satu hal yang menyebabkan saya terpaksa berdoa dan bersuara kepada Tuhan adalah ketika keputusan peperiksaan semester 1 telah keluar. Daripada 36-38 orang pelajar dalam kelas, saya mendapat kedudukan yang ke-31 dan hal ini sangat menghancurkan hati saya. Meskipun tidak ada mata pelajaran yang gagal, saya masih merasa malu dan rendah dengan rakan-rakan sekelas apa lagi memberitahu berita ini dengan keluarga. Memandangkan saya baru sahaja menerima Tuhan pada waktu itu, saya tergerak untuk meluahkan rasa kecewa, hancur hati dan marah kepada Tuhan. Sejurus selepas waktu persekolahan selesai, setibanya di rumah saya meluahkan semuanya. Saya tidak tahu berdoa dan saya tidak pasti adakah Tuhan wujud serta mendengar doa saya. Saya mengulang-ulang luahan yang sama dan meminta Tuhan membuat sesuatu sehingga beberapa jam berlalu. Namun, saya mulai berhenti ketika saya merasa hadirat dan damai sejahtera yang pernah saya rasakan ketika menerima Tuhan pada tahun yang sama. Setiap kali dua hal ini datang, saya sentiasa disuntik dengan harapan.


Keesokan harinya, semasa berada di dalam kelas, guru kelas yang masuk meminta semula buku laporan prestasi dan mulai memberi pengumuman baru; “Ok kelas, terdapat sedikit perubahan kedudukan, cikgu lupa menjumlahkan mata pelajaran Moral bagi beberapa pelajar yang mengambil subjek ini, mana Roy?” Selepas saya mengangkat tangan, guru kelas menyambung “Ok kelas, kedudukan Roy sekarang ialah daripada nombor 31 ke nombor 2”. Kejadian inilah yang telah menjadi ‘turning point” kehidupan saya. Pelajaran, keluarga, dan hubungan saya dengan Tuhan serta orang lain berubah selepas itu kerana saya menyaksikan sendiri bahawa Tuhan itu hidup dan saya telah menjadi produk kebaikan-Nya. Cerita ini nampaknya kebudak-budakan, mungkin kebetulan atau boleh dipertikaikan bagi sesetengah orang, tetapi siapa saya sekarang ini merupakan hasil daripada cerita kecil ini. Setiap orang merupakan produk daripada peristiwa tertentu dalam kehidupannya. Saya mengalaminya dan daripada peristiwa kecil ini, saya melihat kebaikan Tuhan.


Teman-teman, jangan menunggu perkara yang besar untuk melihat kebaikan Tuhan dalam kehidupan kita. Tuhan selalu memulai sesuatu yang besar melalui perkara-perkara yang kecil dalam kehidupan anda dan saya. Marilah kita bersyukur dengan hal atau peristiwa kecil yang kita ada, ingatilah kebaikan Tuhan dalam semuanya itu, kerana siapa kita pada hari ini dibina daripada hal-hal kecil yang kita syukuri. Kita adalah produk pengucapan syukur kita dan sesuatu yang diterima dengan pengucapan syukur, akan berganda dan bertambah seperti Yesus mengucap syukur atas bekalan kecil seorang anak – lima roti dan dua ikan (Yoh 6:1-15). Bekalan seorang anak ini telah memberkati 5000 orang. Terus berdoa dan terus bersyukur!


Pr Roy Dinsim




Komentáře


bottom of page