Respons Terhadap Orang yang Malang
- Komuniti Digital 05
- Jun 21
- 2 min read

Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan. Lukas 10:33 AVB
Tuhan Yesus memberitahu ahli Taurat yang datang memerangkap-Nya bahawa jawapannya kepada soalan-Nya memang betul tetapi dia haruslah berbuat seperti yang dikatakannya supaya dia akan hidup. Walau bagaimanapun, ahli Taurat tersebut hendak membela dirinya lalu menanya Yesus siapa sesama manusia itu. Yesus pun menjawab dengan menyampaikan sebuah ibarat tentang orang Samaria yang baik hati.
“Ada seorang dalam perjalanan dari Yerusalem ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati. Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan. Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ. Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang dinar kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, ‘Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.’ ”
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini sewaktu kita melihat seseorang dalam keadaan yang sukar dan sangat memerlukan pertolongan daripada kita? Apakah respons kita? Adakah kita betul-betul memahami siapa yang menjadi sesama manusia kepada orang yang malang? Adakah kita akan menunjukkan belas kasihan kepadanya?
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hati yang penuh dengan belas kasihan. Sewaktu aku melihat seseorang yang perlu didorong dan dibantu, bukalah hatiku untuk menghulurkan pertolongan kepadanya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments