RumahMu, Rumah Tempat Berdoa
- Komuniti Digital 05

- 1 day ago
- 1 min read

“…Yesus berkata, ‘Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa. Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!’...” Lukas 19:46
Setelah Yesus mengusir keluar semua pedagang yang berjual-beli di halaman Rumah Tuhan, Dia memberitahu kepada pengikut-pengikut-Nya alasan mengapa Dia bertindak demikian terhadap para pedagang itu.
Yesus berkata bahawa Rumah Tuhan adalah rumah tempat berdoa, yang dikhususkan untuk mengadakan persekutuan dengan Tuhan, dan bukan untuk kegiatan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Itulah sebab Yesus berkata agar Rumah Tuhan jangan dijadikan tempat persembunyian perompak.
Bagi Yesus, kekudusan Rumah Tuhan merupakan perkara yang sangat diutamakan daripada yang lain. Perbuatan mereka yang berjual-beli di hadapan Rumah Tuhan pasti mengganggu pemikiran setiap orang yang datang untuk beribadah di dalamnya.
Oleh itu wajarlah bagi kita pada hari ini untuk bertindak seperti Yesus, yang mengutamakan kekudusan Rumah Tuhan, sebab Rumah Tuhan adalah tempat bagi setiap kita datang dan bersekutu dengan Tuhan. Apabila Rumah Tuhan dipelihara dalam kekudusan, maka kehadiran Tuhan pasti akan kita nikmati, terutamanya bagi mereka yang datang untuk beribadah di dalamnya.
Oleh itu marilah kita menjadikan Rumah Tuhan sebagai tempat yang kudus, sebagai “…rumah tempat berdoa untuk semua bangsa…”.
Doa: Tuhan, terima kasih untuk Rumah-Mu yang Engkau berikan kepada kami untuk beribadah. Oleh itu, Tuhan, tolonglah kami untuk menjaga agar Rumah-Mu tetap suci dan berkenan kepada-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments