Sebab Herodes Mengemukakan Banyak Pertanyaan
- 1 day ago
- 1 min read

Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Yesus tetapi Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Lukas 23:9 AVB
Apabila Herodes melihat Yesus, dia sangat gembira. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Yesus kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Lagipun, dia berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat. Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Yesus tetapi Yesus tidak menjawab sepatah kata.
Yesus tidak menjawab semua pertanyaan Herodes kerana Yesus mengetahui isi hati Herodes dan tujuan dia melontarkan banyak pertanyaan kepada-Nya. Sungguhpun Herodes terus-menerus mengajukan banyak soalan kepada Yesus, tetapi Yesus berdiam diri tanpa mengucapkan satu perkataan pun kepadanya. Motif pertanyaan Herodes bukan sahaja salah dan tidak ikhlas tetapi juga jahat. Yesus yang diam seribu bahasa sebenarnya memperlihatkan kuasa ilahi-Nya. Proses pengadilan itu sebenarnya masih dalam kawalan penuh-Nya. Yesus bukanlah mangsa pasif kepada soal siasat Herodes.
Bagaimanakah dengan diri kita. Apabila motif pertanyaan kita kepada Tuhan Yesus adalah salah, maka pastilah Yesus tidak akan menjawab kita. Marilah kita memeriksa hati kita di hadapan Allah agar setiap kata kita kepada-Nya datang daripada hati yang benar dan suci. Tidak ada makhluk yang terlindung daripada penglihatan-Nya. Segala-galanya, termasuk isi hati dan fikiran terdedah dan terbuka kepada mata Allah; kepada-Nya nanti kita dipertanggungkan tentang segala perlakuan kita.
Biarlah Allah meneliti kita dan mengenal hati kita supaya jika ada kecenderungan durjana di dalam kita, Dia akan memimpin kita ke jalan yang benar. Biarkan Allah menciptakan hati yang baru lagi bersih dalam diri kita dan memulihkan semangat waja dalam jiwa kita. Ingatlah bahawa mata Allah tertuju kepada orang yang benar dan telinga-Nya mendengar doa mereka, tetapi wajah Allah menentang mereka yang angkuh serta berbuat jahat.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, sucikan dan bersihkan hatiku daripada segala motif yang tidak diperkenan oleh-Mu. Berilah aku hati yang baru dan bersih agar semua permintaanku sesungguhnya memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments