top of page

Sebab Paulus Tetap Bersukacita

  • 3 days ago
  • 2 min read

Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus.  Filipi 1:19 AVB

 

Rasul Paulus telah dipenjarakan kerana Kristus. Bagaimanapun, dia memberitahu saudara saudari dalam Kristus sebabnya dia tetap bersukacita walaupun bukan semua orang memberitakan Kristus dengan maksud yang baik. Bagi Paulus, walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan dan Injil semakin disebarkan.

 

Selain itu, Paulus tahu bahawa doa saudara saudari dalam Kristus dan pertolongan yang diberikan oleh Roh Yesus Kristus kepadanya akan menghasilkan penyelamatan kepada dirinya. Dengan kata lain, Paulus melafazkan keyakinannya bahawa pemenjaraannya akan membawa kesudahan yang baik, sama ada kebebasan secara fizikal ataupun kebebasan secara rohani. Dia memiliki keyakinan ini kerana saudara saudari dalam Kristus mendoakannya dan Roh Kristus Yesus tetap menolongnya.

 

Oleh itu, marilah kita terus bersukacita dalam semua keadaan kita kerana berkat doa saudara saudari dalam Kristus bagi kita dan pertolongan Roh Kudus kepada kita, maka pada akhirnya semua yang kita alami dan lalui dalam hidup ini pasti akan menghasilkan kebaikan bagi diri kita menurut kehendak Allah dan masa-Nya.

 

Paulus telah menunjukkan betapa pentingnya doa saudara saudari dalam Kristus dan betapa kuasa Roh Kudus berupaya mengubah satu keadaan yang susah sekali menjadi satu kesaksian hebat demi kemuliaan Tuhan Yesus Kristus. Jadi, kita juga boleh mengikut teladan Paulus untuk mensyukuri doa saudara saudari dalam Kristus dan bergantung pada Roh Kudus untuk meneguhkan serta mendorong iman kita.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, ajarlah aku untuk terus bersukacita dalam-Mu kerana aku berkeyakinan dengan doa saudara saudari dalam Kristus untuk diriku. Walaupun aku menghadapi pelbagai kesusahan dan cabaran dalam hidup ini, aku mahu tetap taat setia dan mengikut-Mu sepanjang hayatku. Dalam nama-Mu yang mulia aku berdoa. Amin.

Comments


bottom of page