top of page

Sebab Yesus Sangat Ditinggikan

  • 19 hours ago
  • 1 min read

 

Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan-Nya dan menganugerahkan kepada-Nya nama yang di atas segala nama, supaya kepada nama Yesus segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi, dan semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa. Filipi 2:9-11 AVB

 

Tuhan Yesus Kristus yang sekalipun dalam bentuk Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan. Sebaliknya, Dia telah mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba, dan datang dengan rupa manusia. Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di kayu salib!

 

Oleh sebab Tuhan Yesus telah taat kepada Allah Bapa sehingga kepada kematian di kayu salib, maka Allah mengurniai-Nya kekuasaan yang lebih besar daripada segala kekuasaan yang lain. Allah juga menganugerahkan nama yang di atas segala nama kepada-Nya, iaitu nama Yesus lebih besar daripada setiap nama yang ada.

 

Selain itu, Allah memberikan pengiktirafan semesta alam kepada Yesus. Semua makhluk yang di syurga, dan yang di bumi, serta yang di bawah bumi, akan sujud menyembah nama-Nya. Demikian juga Allah akan membuat semua orang mengaku Yesus Kristus ialah Tuhan. Hal itu akan membawa kemuliaan kepada Allah Bapa.

 

Dengan itu, marilah kita menyerahkan diri kita untuk tetap taat setia kepada Allah sepanjang hidup kita di dunia ini. Biarlah kita mencontohi kerendahan hati Tuhan Yesus Kristus. Janganlah sekali-kali mengundurkan diri kita daripada mengikut-Nya, berkongsi Injil-Nya dan melaksanakan kehendak-Nya demi memuliakan-Nya.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, ajarlah aku untuk mengikut-Mu dengan taat setia sehingga akhir hidupku. Kuatkanlah imanku agar aku akan terus melayani-Mu dan memuliakan-Mu seumur hidupku. Dalam nama-Mu yang di atas segala nama aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page