top of page

Sebabnya Para Murid Yesus tidak dapat Menghalau Roh Jahat


“Aku telah memohon murid-murid-Mu supaya menghalau roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Lukas 9:40 AVB

 

Orang ramai datang bertemu dengan Tuhan Yesus. Antaranya, seorang ayah kepada anak tunggal datang kepada Tuhan Yesus untuk memohon pertolongan-Nya agar Dia membebaskan anak tunggalnya itu daripada dirasuk oleh roh jahat. Sebab roh jahat itu terus-menerus menyakiti anaknya. Anak itu secara tiba-tiba akan berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.

 

Sebenarnya, ayah tersebut telah meminta pertolongan daripada murid-murid Tuhan Yesus sebelum itu, tetapi mereka tidak dapat melepaskan anaknya daripada roh jahat. Oleh sebab itu, si ayah datang kepada Tuhan Yesus untuk mengadu kepada-Nya bahawa murid-murid-Nya tidak dapat mengusir roh jahat itu daripada anaknya.

 

Maka Yesus berkata kepada mereka,  “Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu dan bersabar denganmu? Bawa anakmu itu ke mari.” Semasa anaknya dibawa kepada Yesus, roh jahat itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Akan tetapi, Yesus memarahi roh jahat itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.  Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah iman dan keyakinan kita terhadap Tuhan Yesus masih teguh atau sebaliknya? Ingatlah, Tuhan Yesus memberitahu kita bahawa setiap orang yang percaya kepada-Nya akan diberi “kuasa untuk melakukan hal-hal yang besar”. Oleh itu, serahkan apa yang menyebabkan kita masih ragu-ragu hari ini kepada Tuhan Yesus. Datanglah kepada Tuhan Yesus untuk memohon pengampunan dan kekuatan daripada-Nya.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu untuk memohon pengampunan daripada-Mu sekiranya aku masih kurang yakin tentang kuasa-Mu. Baharuilah hatiku dan kuatkanlah imanku agar aku akan tetap teguh dan percaya kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page