Segala Puji Bagi Allah
- 13 minutes ago
- 2 min read

Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus. Efesus 1:3 AVB
Rasul Paulus bermula dengan meluahkan puji-pujian bahawa Allah sahaja layak disembah. Dia mengajak seluruh jemaah di Efesus supaya mereka bersyukur kepada Allah dan Bapa Tuhan Yesus Kristus. Mereka bersyukur kepada Allah kerana Dia telah memberkati semua orang yang percaya kepada-Nya dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus.
Orang percaya telah diberkati oleh Allah dengan segala berkat rohani. Tegasnya, pemberian ini sebenarnya sudah pun diperoleh mereka. Maka orang percaya tidak perlu merayu kepada Allah untuk memberi mereka berkat ini. Mereka cuma perlu bersyukur kepada Allah yang memberkati mereka kerana mereka hidup bersatu dengan Kristus.
Apakah yang dimaksudkan dengan “dalam Kristus” atau "hidup bersatu dengan Kristus"? Hal ini merujuk kepada hubungan peribadi dengan Tuhan Yesus secara akrab. Oleh yang demikian orang yang percaya kepada Tuhan Yesus telah "disatukan" dengan-Nya. Sesiapa yang ada dalam Kristus menjadi ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. Allah tidak lagi memandang kepada dosanya. Imannya itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran. DIa tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi hidup untuk Kristus.
Oleh itu, marilah kita tetap bersyukur kepada Allah sepanjang hidup kita kerana kita sudah menerima semua berkat rohani dalam Yesus, seperti pengampunan daripada dosa, penyelamatan, hidup baru, pemberian Roh Kudus, dan jaminan hidup kekal . Betapa pentingnya kita ingat bahawa semua berkat rohani tersebut diberikan kepada kita semata-mata kerana kita dalam Kristus dan hidup bersatu dengan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana mengampuni dan menerima aku untuk menjadi anak-Mu. Bimbinglah aku dalam semua jalanku agar sepanjang hidupku nama-Mu dimuliakan dan diagungkan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments