Segala Yang Kita Tinggalkan Kerana Yesus, Tidak Sia-Sia
- Komuniti Digital 05

- 43 minutes ago
- 2 min read

'Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara lelaki, atau ibu bapa, atau anak-anak demi kerajaan Allah akan menerima ganjaran berlipat ganda pada masa ini, dan pada kemudian hari, hidup kekal.” Yesus membawa dua belas murid-Nya ke tepi dan berkata kepada mereka, “Kita akan pergi ke Yerusalem dan segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Anak Manusia akan berlaku di sana. ' (Lukas 18:29-31) AVB
Setelah Petrus mendengar ucapan Yesus kepada mereka bahawa “…apa yang mustahil bagi manusia adalah mungkin bagi Allah…”, maka Petrus pun berkata kepada Yesus, “…lihatlah, bagaimana dengan kami? Kami sudah meninggalkan semua yang kami miliki, lalu mengikut Engkau…”
Oleh itu Yesus menjawab pertanyaan Petrus dengan berkata, “…yakinlah, orang yang meninggalkan rumah, isteri, saudara-saudara, orang tua, atau anak-anaknya kerana Kerajaan Allah, akan menerima berlipat ganda daripada yang ditinggalkannya, dan pada zaman yang akan datang menerima hidup yang kekal.”
Dengan itu mereka tidak perlu membesar-besarkan apa yang mereka telah lakukan bagi melayani Tuhan selama ini, kerana apa yang mereka lakukan dalam pekerjaan Tuhan pasti Tuhan akan melimpahkan berkat-Nya dengan berkelimpahan dalam kehidupan mereka.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini, kita tidak perlu memperbesarkan kasih kita sendiri dan kasih kita kepada saudara-saudara kita yang lain terhadap Yesus. Sebab apa yang kita lakukan di dalam Tuhan hari ini pasti tidak akan sia-sia. Sebaliknya, kita perlu merendahkan diri di hadapan Tuhan dan bersyukur kepada-Nya kerana memperlayakkan diri kita untuk mengikut-Nya.
Ingat, setiap apa yang kita tinggalkan atau singkirkan demi mengikut Yesus pasti tidak akan sia-sia. Tuhan pasti akan melimpahkan berkat-Nya ke atas hidup kita pada hari ini dan juga pada hari yang akan datang.
Doa: Tuhan, aku serahkan seluruh kehidupanku kepada-Mu. Pakailah hidup aku sebagai alat-Mu untuk memuliakan nama-Mu. Ajar aku untuk melayani-Mu selama hidup aku. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments