top of page

Segalanya Terjadi Seperti yang Dikatakan Yesus

Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah. Lukas 22:13 AVB

 

Tibalah Perayaan Paskah. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita.” Mereka bertanya kepada Yesus, “Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?” Yesus menjawab, “Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Di situlah kamu sediakan jamuan Paskah.”

 

Sewaktu Petrus dan Yohanes pergi ke tempat yang diperintahkan Tuhan Yesus kepada mereka, segalanya terjadi sebagaimana yang telah diberitahukan kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah. Jelaslah bahawa kedua-dua murid Tuhan Yesus itu hanya mengikut dan mentaati apa yang telah dikatakan-Nya kepada mereka. Sebab semuanya sudah tersedia. Oleh itu, mereka hanya melaksanakan segalanya menurut apa yang diperintahkan Yesus.

 

Walaupun mereka tidak mengetahui apa yang ada di hadapan mereka, mereka tidak banyak soal atau meragui kata-kata Tuhan Yesus. Sesungguhnya, kedua-dua murid-Nya itu tidak perlu takut atau khuatir tentang apa-apa yang sudah diatur oleh-Nya. Tidak dapat dinafikan peristiwa tersebut menunjukkan Tuhan Yesus maha tahu.

 

Demikian juga dengan diri kita sekiranya Yesus menyuruh kita melakukan sesuatu. Lakukanlah sahaja tanpa banyak cakap kerana apa yang diperintahkan-Nya pasti akan terjadi. Yang pentingnya ialah kita hendaklah taat setia dan menurut apa yang diperintahkan Yesus kepada kita. Sebab Dialah Tuhan yang berkuasa dan mengetahui apa yang ada di hadapan kita.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, inilah aku. Pakailah aku sebagai alat-Mu untuk memuliakan nama-Mu. Kerana Engkaulah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia, maka aku beroleh kurnia penyelamatan dan hidup kekal. Engkau layak menerima kekuasaan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian. Dalam nama-Mu yang agung aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page