top of page

Sejiwa Dan Sepakat

  • 16 hours ago
  • 1 min read

... sempurnakanlah kebahagiaanku dengan berkeadaan sejiwa, mempunyai kasih yang sama, sepakat dan bersatu hati.  Filipi 2:2 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa sukacitanya akan menjadi sempurna jika mereka betul-betul bersatu padu secara rohani. Dengan kata lain, dia berharap melihat mereka hidup sehati sefikiran, memiliki kasih yang sama, dipersatukan dalam Roh, sepakat dan memiliki satu tujuan.

 

Saudara saudari dalam Kristus harus saling mengasihi kerana kasih sebagai buah Roh perlu diperlihatkan dalam setiap aspek hidup. Mereka juga harus sejiwa dengan mempunyai fikiran dan tujuan yang sama dalam pelayanan demi kemuliaan Allah.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah yang ingin kita lihat dalam hidup saudara saudari dalam Kristus pada hari ini? Adakah kita mengutamakan perpaduan jemaah, menyelesaikan konflik secara baik dan mendukung matlamat rohani yang sama dalam Kristus? Selain itu, adakah kita memfokuskan kasih bersama terhadap Kristus demi membangunkan komuniti yang lebih kukuh?

 

Marilah kita meneladani Paulus dalam hidup kita pada hari ini, yakni keinginan hati untuk melihat saudara saudari seiman berkeadaan sejiwa, mempunyai kasih yang sama, sepakat dan bersatu hati.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, sematkanlah di dalam hatiku keinginan yang murni terhadap saudara saudari dalam Kristus. Biarlah aku sentiasa memikirkan hal-hal yang baik dan adil bagi mereka. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page