Bacaan Alkitab: Mazmur 66-75
Salah satu mazmur yang paling kerap dipetik dalam Perjanjian Baru ialah Mazmur 69, umumnya berkaitan dengan pelayanan dan penderitaan Yesus. Pada masa penulisan, Daud tenggelam dalam lautan kesusahan dan berseru kepada Tuhan. Dia berseru kepada Tuhan untuk menyelamatkannya (ayat 1), menjawabnya (ayat 13), melepaskannya (ayat 14), mendekat kepadanya (ayat 18) dan melindunginya (ayat 29). Walaupun dia tidak dapat membayangkan jalan keluar dari kesusahannya, Daud yakin bahawa Tuhan akan menjaganya, dan dia mendapat ilham untuk mengakhiri mazmurnya dengan menzahirkan pujian.
Beberapa luahan Daud tentang kesusahannya sama dengan Injil tentang kisah penderitaan Yesus. Tuhan tidak pernah meninggalkan sama ada Daud atau Anak-Nya Yesus, dan Dia tidak akan pernah meninggalkan kita. Penulis kepada orang Ibrani merujuk kembali kepada Ulangan 31:6, 8 apabila dia memetik Tuhan sebagai berkata, “Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.” (Ibrani 13:5)
Walau apa pun keadaan kita, Dia akan memberi kita kekuatan untuk bertahan kerana Dia adalah Tuhan Yang Maha Kuasa yang tidak akan berhenti mengasihi kita: “Tuhan menampakkan diri kepadaku dari jauh, firman-Nya:”Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi.” (Yeremia 31:3AVB).
Kerana Yesus mengalami penghinaan, pengkhianatan dan penderitaan tubuh dan roh yang tidak terkata, Dia tahu bagaimana perasaan kita apabila kita menjadi letih dan cedera akibat pukulan hidup (Ibrani 4:14-16). Dia benar-benar memahami dan berada di pihak kita untuk mendorong kita “berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita” sambil mengarahkan mata kita kepada Dia, Dia yang terlebih dahulu mengalaminya menunjukkan jalan (Ibrani 12:1-3).
Doa:
Tuhan Yesus, nyanyian pujian adalah apa yang kami perlukan dalam masa yang sukar, kerana nama-Mu ditinggikan dan dipuja dalam pujian kami, sukacita-Mu terpancar di dalam kami dan kuasa-Mu terpancar di hadapan kami semasa kami memuji-Mu. Amin.
Pr Jeffery Chua, NECF
Comments