top of page

Semua Orang Adalah Sama Dalam Pelayanan Tuhan


'Yohana, isteri Khuza, pegawai istana Raja Herodes; Susana dan ramai perempuan lain yang menggunakan harta benda mereka untuk membantu Yesus serta murid-murid-Nya. ' (Lukas 8:3)


Dalam tradisi Perjanjian Lama, bagi orang Yahudi, status dan kedudukan seorang wanita adalah sangat rendah. Wanita dianggap sebagai golongan masyarakat kelas kedua kerana kedudukan dan peranan utama dipegang oleh lelaki.


Walaupun wanita dalam Perjanjian Lama tidak memiliki peluang yang sama seperti lelaki, namun dalam petikan Firman Tuhan ini, kita diberitahu bahawa pelayanan Yesus telah disokong oleh beberapa orang wanita — seperti Yohana, isteri Khuza (pegawai istana Herodes), Susana dan ramai lagi — melalui bantuan kewangan mereka.


Hal ini menyampaikan kepada kita hari ini bahawa golongan wanita juga boleh terlibat dalam pelayanan Tuhan Yesus sama seperti lelaki, tanpa sebarang halangan. Bagi Tuhan Yesus, tiada perbezaan antara lelaki dan wanita dalam pelayanan-Nya. Semua orang adalah layak dan berguna dalam mengembangkan pelayanan Tuhan di dunia ini, kerana kerinduan Tuhan adalah agar semua orang diselamatkan.


Oleh itu, pelayanan misi keselamatan Tuhan Yesus di dunia ini tidak tertumpu kepada satu golongan sahaja (lelaki atau wanita), tetapi terbuka kepada semua orang. Ini menunjukkan bahawa semua orang adalah layak untuk terlibat dalam pelayanan Tuhan.


Bagi Tuhan Yesus, semua orang — sama ada lelaki mahupun wanita — adalah layak untuk melibatkan diri dalam pelayanan-Nya, asalkan kita bersedia dan rela hati.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memuji nama-Mu kerana semua orang adalah layak untuk terlibat dalam pelayanan-Mu. Engkau memakai semua orang secara sama rata, tanpa sebarang perbezaan. Terima kasih, Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, Amin.


Pr Patrick Taie

Comentários


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page