Setia Sampai Akhir Hidup
- Komuniti Digital 05

- 2 days ago
- 1 min read

“Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Anak Manusia.” Lukas 21:36 AVB
Oleh sebab hari kedatangan Tuhan Yesus adalah secara tiba-tiba atau tidak disangka-sangka, maka hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini. Dengan itu, mereka haruslah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya mereka memiliki kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku. Barulah mereka dapat berdiri di hadirat Anak Manusia.
Tuhan Yesus memperingatkan para murid-Nya agar mereka siap sedia untuk setiap waktu. Mereka hendaklah meneguhkan dan mengakrabkan hubungan mereka secara peribadi dengan Allah melalui doa serta pembacaan Alkitab. Selain itu, mereka harus sentiasa berjaga-jaga dan berdoa agar mereka tetap berdiri teguh tanpa goyah sewaktu mereka melalui pelbagai godaan, cubaan, dan pergelutan dalam hidup.
Dengan menjalani hidup yang sentiasa berjaga-jaga dan berdoa, maka mereka akan beroleh kekuatan dan dapat berdiri di hadirat Tuhan Yesus Kristus sebagai seorang yang sudah diselamatkan. Sebab hanya mereka yang hidup dengan berjaga-jaga dan memelihara iman mereka dengan baik dapat bertahan di hadirat Allah yang penuh kemuliaan nanti.
Marilah kita meneguhkan azam untuk tetap taat setia kepada Tuhan Yesus dengan sepenuh hati sampai ke garis akhir hidup dan kita berdiri di hadapan Tuhan Yesus saat Dia datang untuk kali kedua. Ingatlah bahawa kekuatan dan keteguhan kita untuk menghadapi semua perkara yang akan terjadi itu datang daripada Allah dan bukan daripada diri kita sendiri. Kekuatan dan keteguhan ini dibina bersauhkan iman kepada Allah dan kasih kurnia daripada-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu atas hidupku. Teguhkan imanku walaupun aku melalui hidup yang penuh dengan tentangan, godaan dan penganiayaan. Aku bersyukur kerana Engkaulah Allah yang tetap setia dan akan menguatkan aku serta melindungi aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments