top of page

Setiap Kejadian ada Peluang untuk Memberikan Kesaksian

ree

“Inilah peluang bagimu untuk memberikan kesaksian. Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri ” Lukas 21:13-14 AVB

 

Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa mereka akan mendengar tentang peperangan dan pemberontakan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu, tetapi waktu akhir zaman tidak akan berlaku dengan segera. Kemudian Yesus menambah, “Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan; gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di merata-rata. Perkara-perkara dahsyat dan tanda-tanda yang hebat turut akan kelihatan di langit.”

 

Namun begitu, sebelum segala perkara yang disebut itu berlaku, mereka akan ditawan dan dianiayai. Mereka akan didakwa di majlis saumaah (rumah ibadat) dan dipenjarakan. Mereka juga akan didakwa di hadapan raja dan pemerintah kerana nama Tuhan Yesus. Walaupun mereka akan ditangkap dan dianiayai, tetapi Yesus mendorong mereka supaya tidak gentar atau khuatir akan semuanya itu. Sebenarnya, semua itu membuka kesempatan kepada mereka untuk mengkhabarkan Berita Baik dan bersaksi tentang diri-Nya.

 

Oleh itu, sebagai murid-murid-Nya mereka janganlah terkejut apabila mereka ditimpa penganiayaan. Sebaliknya, mereka hendaklah meneguhkan hati kerana sewaktu mereka tidak mengetahui apa yang harus dikatakan untuk membela diri mereka, Allah tentu akan menolong mereka dengan memberi mereka kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun.

 

Tegasnya, mereka harus tetap setia dan penuh beriman apabila mereka memilih untuk mengikut Tuhan Yesus sepanjang hidup mereka. Dalam apa-apa keadaan yang serba sulit atau mencabar pun, mereka mendapat peluang untuk bersaksi tentang pengharapan yang dimiliki mereka dalam Kristus kepada para penganiaya mereka. 

 

Demikian juga dengan diri kita. Kita tidak perlu takut atau bimbang tentang penganiayaan yang akan kita alami kerana Allah akan campur tangan dan menolong kita untuk menghadapinya. Sesungguhnya, Dia akan bertindak bagi diri kita dan memperkasakan kita dalam segala yang kita katakan atau lakukan. Betapa baiknya kita dapat memberikan kesaksian tentang Tuhan Yesus Kristus!

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, ajarlah aku untuk melihat segala perkara menurut pandangan mata-Mu agar aku akan menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk memberikan kesaksian dan memuliakan nama-Mu. Dalam nama-Mu yang agung aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page