Setiap Kita Berharga di Hadapan Allah
- Komuniti Digital 05
- 4 days ago
- 1 min read

“Malahan setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.” Lukas 12:7 AVB
Tuhan Yesus meyakinkan para murid-Nya supaya mereka tidak takut akan manusia tetapi mereka harus takut akan Dia yang boleh membunuh jiwa manusia. Sebab Dialah Allah yang maha tahu sehingga jumlah helai rambut yang ada di kepala mereka pun diketahui-Nya. Betapa menakjubkan kasih dan belas kasihan Allah!
Oleh itu, Yesus mahu setiap murid-Nya tetap teguh setia dan tabah hati sewaktu mereka menempuh berbagai-bagai kesulitan dan bahaya atas sebab mereka mengikut-Nya. Dengan kata lain, mereka harus berfokus pada keutamaan dalam hidup mereka sebagai pengikut dan murid-Nya, iaitu dengan membangunkan hidup mereka pada asas kebenaran firman Allah.
Sebab Allah yang dipercayai mereka ialah Allah yang maha kuasa, maha tahu dan maha pengasih. Dia tidak akan melupakan atau mengabaikan anak-anak-Nya. Dengan itu, mereka harus teguh membina iman mereka pada-Nya yang senantiasa menjaga, memelihara dan melindungi hidup mereka.
Semuanya ini akan dilakukan Allah bagi mereka kerana setiap mereka adalah sangat berharga sekali bagi-Nya. Mereka haruslah tetap percaya kepada-Nya ketika mereka menjalankan tugas sehari-hari mereka.
Oleh itu, jangan takut kerana bagi Allah kita semua lebih berharga daripada burung pipit.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana melihat diriku sangat berharga walaupun aku seorang yang mengalami banyak kegagalan dan kelemahan. Aku sangat bersyukur bahawa semua itu tidak menghalang Engkau daripada mengasihiku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comentarios