top of page

Siapa yang Harus Ditakuti

ree

“Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah memusnahkan jasad, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia!Lukas 12:5 AVB

 

Yesus memperingatkan murid-murid-Nya tentang siapa yang harus ditakuti mereka dalam hidup ini. Mereka harus takut kepada Dia yang berkuasa  membunuh dan menghumbankan mereka  ke dalam neraka untuk menghadapi penghakiman  dan hukuman kekal. 

 

Jelaslah bahawa mereka harus memiliki pengertian yang jelas tentang siapa yang harus ditakuti mereka dalam hidup ini. Sebab sewaktu mereka menyerahkan diri mereka sepenuhnya untuk mengikut Tuhan Yesus, memang mereka akan dibenci dan dianiayai di dunia.

 

Namun demikian, mereka tidak perlu takut dengan ancaman yang datang daripada manusia kepada mereka kerana manusia hanyalah membunuh tubuh mereka tetapi tidak memiliki kuasa untuk membunuh jiwa mereka. Oleh itu, mereka haruslah takut kepada yang berkuasa atas jiwa mereka dan bukan kepada yang cuma berkuasa atas jasad mereka.

 

Hendaklah kita  membina kekuatan iman kita pada asas kebenaran firman Allah agar kita tidak akan goyah terhadap semua ancaman dunia ini. Sebab apabila kita setia mengikut Yesus, pasti kita akan menghadapi tentangan atau penganiayaan daripada dunia ini. Bagaimanapun, ingatlah untuk tetap berani memperkatakan kebenaran firman Allah kepada orang di sekeliling kita kerana Dia memiliki kuasa mutlak atas jiwa raga kita. Sesungguhnya, takutlah akan Dia sahaja.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu atas jaminan yang Engkau berikan kepadaku bahawa yang perlu aku takuti dalam hidup ini ialah Engkau dan bukan manusia di  dunia ini. Oleh itu, ajarlah aku untuk hidup menurut jalan-Mu dan takut akan Engkau. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page