top of page

Sikap Kita Yang Lemah Lembut Diketahui Semua Orang

  • 2 days ago
  • 2 min read

Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran. Filipi 4:5 AVB

 

Selain bersukacita sentiasa dalam Tuhan, Rasul Paulus menggesa saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya membiarkan sikap mereka yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Ungkapan yang membawa maksud yang lebih kurang sama digunakan dalam versi Alkitab yang berlainan. Sebagai contoh, Alkitab Berita Baik mengatakan, “Hendaklah kamu bertolak ansur.” Alkitab Terjemahan Baru mencatat, “Hendaklah kebaikan hatimu diketahui semua orang.” Alkitab Dalam Bahasa Indonesia Sehari-Hari berbunyi, “Hendaklah semua orang dapat melihat sikapmu yang baik hati.” Alkitab Mudah Dibaca pula menyebut, “Biarlah semua orang tahu bahawa kamu lemah lembut dan baik hati.” 

 

Berdasarkan beberapa versi Alkitab di atas, jelaslah bahawa Paulus menasihati semua saudara saudari dalam Kristus di Filipi untuk memastikan semua orang dapat melihat sikap mereka yang lemah lembut, bertolak ansur dan baik hati di samping tidak mementingkan diri mereka sendiri apabila mereka melakukan apa-apa pun. Pendek kata, orang yang lemah lembut bersedia untuk melepaskan hak peribadinya dan memperlihatkan keprihatinan kepada orang lain. Dia juga berbudi bahasa, tidak mudah marah dan tidak kasar dari segi gaya, suara serta tingkah laku.

 

Sebagai dorongan, Paulus memperingatkan mereka bahawa Tuhan Yesus ada berhampiran. Dengan kata lain, Tuhan Yesus tidak lama lagi akan datang kembali. Mereka harus bersabar dan menabahkan hati mereka kerana hari kedatangan Tuhan sudah hampir tiba. Maka betapa pentingnya semua orang melihat sikap lemah lembut dan kebaikan hati mereka, lalu mengenal Tuhan Yesus serta memuliakan nama-Nya.

 

Bagaimanakah dengan diri kita? Marilah kita membiarkan sikap lemah lembut dan kebaikan hati kita diketahui oleh semua orang kerana kita telah hidup bersatu dengan Tuhan Yesus. Perlu diperhatikan bahawa Paulus mengajar kita untuk berlemah lembut dan baik hati bukan sahaja kepada sesetengah orang sahaja, tetapi kepada semua orang, termasuk penganiaya atau musuh yang belum percaya kepada Tuhan Yesus. “Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga” Matius 5:16 AVB.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, pakailah hidupku sebagai alat-Mu untuk memancarkan cahaya-Mu. Jadikan aku seorang yang lemah lembut dan baik hati supaya semua orang yang di sekelilingku akan mengenal serta memuji-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page