Sikap Terhadap Mereka yang Mengutuk Kita
- Komuniti Digital 05
- Mar 30
- 1 min read
Updated: 4 days ago

'Berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu. ' (Lukas 6:28) AVB
Salah satu tindakan yang paling sukar bagi seseorang untuk lakukan dalam hidupnya sebagai manusia ialah "...memberkati mereka yang mengutuk dirinya, dan berdoa untuk mereka yang menganiaya dirinya..."
Namun, Yesus memerintahkan semua pengikut-Nya supaya mengikuti teladan-Nya dalam menghadapi orang yang mengutuk dan menganiaya-Nya. Dia telah memberi kita satu teladan ketika Dia dibenci, ditolak, dan dihina oleh orang lain, namun Dia tetap mengasihi mereka. Malah, Dia berdoa untuk mereka dan mengampuni mereka.
Walaupun hal ini merupakan perintah yang sangat sukar untuk dilakukan, tindakan ini membawa kebaikan kepada kehidupan rohani kita. Ini kerana bertindak sedemikian akan membebaskan diri kita daripada segala tuduhan orang yang tidak menyukai kita. Selain itu, jika kita tidak mengamalkan ajaran ini, perasaan benci dan dendam boleh bertapak dalam hati kita. Namun, dengan berpegang kepada ajaran ini, kasih Yesus akan memenuhi hati kita.
Oleh itu, marilah kita terus mengamalkan kehidupan yang berpandukan kepada perintah Tuhan Yesus, "...memberkati mereka yang mengutuk kita, dan berdoa untuk mereka yang menganiaya kita..." Pada penghujung perjalanan hidup kita, jika kita mengamalkan sikap ini, pasti berkat yang besar akan kita terima dan alami.
"...Selagi kita mempunyai kesempatan dalam hidup ini, jadilah berkat kepada semua orang di sekeliling kita..."
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon agar Tuhan menanam dalam hatiku sikap yang sentiasa mahu memberkati dan berdoa untuk mereka yang membenci aku. Biarlah aku melihat semua orang dalam kasih Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Commentaires