Singkirkan Segala Kepura-puraan
- Komuniti Digital 05
- 60 minutes ago
- 1 min read

Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah orang yang membela diri di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya di mata Allah.” Lukas 16:15 AVB
Setelah Tuhan Yesus mengajar murid-murid-Nya tentang wang dan kekayaan, Dia menekankan bahawa mereka tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan. Orang Farisi yang loba akan wang memberikan reaksi yang negatif kepada ajaran Yesus. Yesus pun menegur orang Farisi yang munafik. Mereka sentiasa berusaha sedaya upaya untuk kelihatan benar dan baik dengan melakukan ibadat keagamaan supaya mereka mendapatkan pujian daripada orang lain.
Bagaimanapun, Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengetahui niat jahat yang terpendam di dalam hati mereka. Sebab apa yang dipandang manusia sebagai sangat tinggi, seperti wang, kekayaan, status adalah sebaliknya bagi Allah. Maka Yesus menegur orang Farisi yang berpura-pura benar di hadapan orang lain sungguhpun hati mereka sangat jauh daripada Allah. Allah sangat membenci kepura-puraan hati mereka di hadapan orang lain. Tegasnya, tidak ada satu pun perkara yang tersembunyi di mata Allah.
Janganlah menjadikan diri kita seperti orang Farisi yang penuh dengan kepura-puraan, tetapi hati mereka tertutup kepada Allah. Mereka menipu diri mereka sendiri dan orang lain melalui penampilan luaran mereka yang nampaknya suci. Akan tetapi, isi hati mereka penuh dengan hal duniawi yang dikejar oleh manusia tetapi dibenci oleh Allah.
Ingat, segala perkara di hadapan Allah tidak ada yang tersembunyi, semuanya terbuka. Oleh itu, kita harus membina hidup kita dengan kebenaran firman Allah. Sebab bagi-Nya hati yang hancur, sesal dan ikhlas adalah yang dicari oleh-Nya. Jalanilah hidup yang selaras dengan kebenaran firman-Nya setiap hari dan mohonlah Allah untuk menyingkirkan segala kepura-puraan daripada diri kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku daripada segala kepura-puraan yang menguasai hatiku. Ajarlah aku untuk menjalani hidup yang menyenangkan hati-Mu. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu setiap hari agar aku terus memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments