top of page

Sujud Menyembah Dia

  • 2 hours ago
  • 1 min read

Murid-murid-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. Mereka menumpukan masa di Bait Suci untuk memuji Allah. Lukas 24:52-53 AVB

 

Ketika Tuhan Yesus mengangkat kedua-dua belah tangan-Nya dan memberkati para murid-Nya, Dia diangkat ke syurga. Dengan kata lain, Yesus meninggalkan mereka. Mereka terpisah daripada Yesus kerana Dia terangkat ke syurga untuk kembali kepada Allah Bapa.

 

Sebagai respons pertama, para murid-Nya pun sujud menyembah-Nya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan memberkati berseiringan dengan perbuatan menyembah. Apabila Allah memberkati kita, rasa syukur dan sukacita akan menyebabkan kita mahu menyembah-Nya. Begitu juga apabila kita menyembah Allah dengan sepenuh jiwa raga, Dia akan melimpahkan berkat-Nya kepada kita.

 

Para murid Yesus pulang ke Yerusalem dengan penuh sukacita. Oleh sebab hati mereka yang sangat gembira, maka mereka pun meluangkan banyak masa untuk berada di Bait Suci demi memuliakan dan memuji-muji Allah. Semuanya ini terjadi kepada diri mereka kerana pengalaman mereka bertemu dengan Yesus yang bangkit daripada kematian selain menyaksikan Yesus diangkat ke syurga dengan mata mereka sendiri. Pengalaman ini telah menyebabkan mereka sangat rindu untuk menumpukan masa di Bait Suci dan menaikkan pujian kepada Allah.

 

Bagaimanakah dengan diri kita hari ini? Apakah hal yang menyebabkan kita sesungguhnya rindu dan haus untuk berada di hadirat Allah setiap hari? Sebenarnya, pengalaman secara peribadi bersama dengan Tuhan Yesus merupakan hal yang sangat penting dalam hidup orang yang percaya kepada Tuhan Yesus kerana segala aspek hidup orang itu akan berubah. Seperti rusa merindui air sungai, demikianlah jiwa kita merindui Allah. Jiwa kita juga dahaga akan Allah. Kita rindu datang ke hadirat Allah untuk berakrab dengan-Nya.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku sangat bersyukur kepada-Mu kerana kasih kurnia dan belas kasihan-Mu yang tidak pernah berubah terhadap diriku. Ajarlah aku untuk sentiasa beribadat kepada-Mu kerana Engkau layak disembah dan dipuji sepanjang masa. Dalam nama-Mu yang maha kuasa aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page