top of page

Terimalah Berkat Yesus Dengan Hati Yang Terbuka

  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kemudian Yesus membawa murid-murid-Nya ke luar kota sehingga ke Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. Lukas 24:50 AVB

 

Sebelum Tuhan Yesus diangkat ke syurga, Dia membawa semua murid-Nya ke luar kota sehingga ke Betania. Sewaktu mereka berada di situ, Yesus mengangkat tangan-Nya lalu memberkati semua murid-Nya itu. Dengan mengangkat tangan Yesus adalah seperti Imam Besar yang memberkati anggota jemaah. Perbuatan memberkati mereka merupakan perkara terakhir yang dilakukan Tuhan Yesus untuk para murid-Nya. Tindakan ini menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan-Nya kepada mereka. Pelayanan Yesus di bumi sudah tamat dan Dia akan kembali kepada Allah Bapa.

 

Berkat ialah kurnia atau rahmat Allah yang membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada manusia sementara memberkati bermakna memberikan kurnia atau rahmat kepada seseorang. Berkat ini merupakan kemurahan yang dikurniakan Allah atau kurnia yang dijanjikan Allah kepada manusia melalui Kristus Yesus. 

 

Kata-kata berkat Yesus menyebabkan murid-murid-Nya kembali ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. Para murid-Nya menerima pengertian yang baharu daripada Allah. Kini mereka mula memandang dunia mereka dari kaca mata baharu yang diberikan Allah kepada mereka. Mereka siap sedia untuk menjadi saksi bagi Yesus dan menyempurnakan amanah yang diberikan-Nya. 

 

Marilah kita menerima kata-kata berkat daripada Tuhan Yesus kepada kita dengan hati yang terbuka. Penyelamatan kita menjadi lebih nyata dan bermakna. Kita juga beroleh pengertian yang baharu untuk hidup beriman berdasarkan kebenaran Alkitab. Sesungguhnya, kata-kata berkat ini memiliki kesan yang sangat mendalam terhadap iman kita. Allah telah membangkitkanYesus dan menghantar-Nya untuk memberkati kita dengan memalingkan kita sekalian daripada dosa kita. Segala puji bagi Allah yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus, Penyelamat hidup kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku mengucap syukur atas kasih kurnia-Mu terhadap hidupku. Kiranya Engkau akan memberkati hidupku supaya aku dapat menjadi saluran berkat kepada orang lain. Ajarlah aku terus bergantung pada-Mu untuk kekuatan dan bimbingan agar hidup rohaniku akan sentiasa memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page