top of page

Terpujilah Kemuliaan Kasih Kurnia Allah 

  • 2 hours ago
  • 2 min read

 

... supaya terpujilah kemuliaan kasih kurnia-Nya (Allah), yang dirahmati-Nya kepada kita dalam Dia (Yesus) yang dikasihi-Nya.  Efesus 1:6 AVB

 

Rasul Paulus mengajak seluruh jemaah di Efesus supaya memuji Allah atas kasih kurnia-Nya yang mulia, yang dikurniakan-Nya kepada mereka melalui Dia yang dikasihi-Nya. Dengan kata lain, kerana mereka sudah hidup bersatu dengan Kristus Yesus, mereka harus datang membawa pujian mereka kepada Allah atas kasih kurnia-Nya yang betapa mulianya. Allah telah merahmati mereka semata-mata kerana Anak yang dikasihi-Nya, iaitu Yesus Kristus.

 

Kerana Yesus, Allah bukan sahaja mengampuni mereka tetapi menerima mereka sepenuhnya untuk menjadi anak-anak-Nya. Allah telah mengubah status mereka sebagai orang berdosa yang terpisah daripada-Nya kepada anak-anak yang dikasihi, melalui hidup mereka yang bersatu dengan Kristus. Itulah sebabnya mereka disuruh Paulus untuk memuji Allah dengan sepenuh jiwa raga mereka.

 

“Kasih kurnia” (rahmat-Nya) bermaksud pemberian yang kita terima daripada Allah secara percuma tanpa kita lakukan apa-apa untuk mendapatkannya. Itu semata-mata kemurahan dan kasih Allah yang dicurahkan kepada kita biarpun kita tidak layak menerimanya, terutama dalam hal penyelamatan, pengampunan daripada dosa, pembaharuan hidup, dan kuasa untuk tidak menjadi hamba kepada dosa melalui Yesus Kristus.

 

Kita tidak memperoleh semuanya dengan cara dunia ini, atau melalui usaha kita ataupun kebaikan kita. Semuanya kita terima atas kasih kurnia Allah sendiri terhadap diri kita yang hidup bersatu dengan Kristus. Itulah sebabnya kita tidak boleh bersikap angkuh dengan apa yang kita nikmati pada hari ini tanpa datang memuji dan mensyukuri Allah. Janganlah sia-siakan kasih kurnia Allah yang telah kita terima.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas limpahan kasih kurnia-Mu yang sangat besar dalam hidupku selama ini. Ajarlah aku untuk terus memuji dan mensyukuri-Mu agar selama hidupku nama-Mu akan dimuliakan dalam segala yang aku lakukan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page