top of page

Tersepit Antara Dua Pilihan 

  • Apr 16
  • 2 min read

 

Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani. Filipi 1:22-24 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi tentang dua pilihan yang ada semasa dia dipenjarakan, iaitu antara hidup secara jasmani dengan meninggalkan hidup ini untuk pergi bersama-sama dengan Kristus. Sesungguhnya, Paulus tidak tahu yang mana akan dipilihnya kerana betapa sukarnya memilih antara dua pilihan itu: Dia ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, tetapi kerana kepentingan saudara saudari dalam Kristus, dia berasa perlu terus hidup dari segi jasmani.

 

Sebab sekiranya dia masih hidup di dunia ini, maka dia akan terus berusaha sedaya upaya untuk melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna demi Tuhan Yesus. Atas bimbingan dan kuasa Roh Kudus, Paulus amat yakin bahawa pelayanannya pasti akan membuahkan hasil yang bermakna. Akan tetapi, hati Paulus sebenarnya lebih cenderung membuat pilihan untuk meninggalkan hidup ini untuk pergi bersama dengan Kristus.

 

Hal inilah yang menyebabkan Paulus tersepit antara dua pilihan. Sebab kedua-duanya adalah sangat penting bagi dirinya. Walaupun pilihan untuk meninggalkan hidup di dunia ini untuk bersama dengan Kristus merupakan pilihan utama bagi dirinya, tetapi untuk terus hidup di dunia ini juga penting disebabkan misinya untuk membawa lebih banyak lagi orang kepada Tuhan Yesus. Pelayanannya juga akan membangunkan jemaah di Filipi dan menyemarakkan pertumbuhan rohani mereka.

 

Oleh yang demikian, Paulus hanya berserah kepada Allah untuk menentukan hidupnya kerana jalan Allah adalah yang terbaik bagi dirinya. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Sewaktu kita tersepit antara dua pilihan, antara keinginan hati kita dengan apa yang harus kita lakukan, berserahlah kepada Allah kerana jalan Allah adalah yang terbaik bagi diri kita juga. Marilah kita datang kepada Allah untuk bimbingan dan pengurapan agar kehendak Allah sahaja yang dilaksanakan dalam hidup kita.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang dengan rendah hati untuk memohon bimbingan-Mu ke atas hidupku agar kehendak-Mu yang akan disempurnakan dalam hidupku. Aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Pakailah aku untuk menjadi berkat kepada orang yang ada di sekelilingku. Dalam nama-Mu yang membawa penyelamatan aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page