top of page

Terus Berusaha Ke Arah Matlamat

  • 3 days ago
  • 2 min read

 

... aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus. Filipi 3:14 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi tentang sebab dirinya berlari terus ke arah matlamat untuk memperoleh ganjaran atau hadiah yang disediakan oleh Tuhan Yesus baginya. Hadiah tersebut menjadi miliknya kerana Allah telah memanggil dirinya melalui Kristus Yesus ke syurga. Sebenarnya, matlamat dan ganjaran atau hadiah adalah sama sahaja bagi Paulus sungguhpun boleh dilihat dari sudut yang berlainan.

 

Matlamat Paulus adalah untuk mengenal Tuhan Yesus Kristus dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya. Apabila matlamat ini tercapai, ganjaran atau hadiah akan menjadi miliknya. Panggilan Allah menandakan seruan Allah yang membawa orang kepada penyelamatan dalam Yesus Kristus.

 

Allah memanggil setiap kita untuk menerima hadiah hidup kekal dalam Tuhan Yesus. Kita semua yang sudah hidup bersatu dengan Kristus Yesus, dipanggil Allah untuk mencapai sasaran syurgawi. Paulus menggunakan metafora olahraga untuk menerangkan bahawa hidup orang Kristian tidaklah pasif. Ia memerlukan usaha, disiplin dan komitmen harian untuk bertumbuh dalam iman dan perwatakan. Orang Kristian harus terus berlari dengan sekuat tenaganya untuk menuju ke arah tujuan akhir hidupnya, supaya dia akan memperoleh kemenangan, iaitu hidup kekal di syurga.

 

Demikian juga dengan diri kita. Marilah kita berlari terus ke arah tujuan hidup kita bagi memenangi hadiah yang tersedia bagi kita oleh Tuhan Yesus. Ganjaran atau hadiah tersebut tidak merupakan sesuatu yang duniawi. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang bersumberkan syurga. Sebagai orang Kristian, kita hendaklah menumpukan pandangan dan pemikiran kita kepada hal-hal di syurga, bukan lagi kepada hal-hal di bumi.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, kuatkan dan teguhkan imanku sewaktu aku berlari gigih menuju ke arah hadiah yang Engkau sediakan bagiku. Bimbinglah aku untuk terus berakrab dengan-Mu. Dalam nama-Mu yang penuh kuasa aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page