Terus Berusaha Sehingga Garis Penamat
- 2 hours ago
- 2 min read

Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Kristus Yesus. Filipi 3:12 AVB
Rasul Paulus memberitahu orang percaya di Filipi bahawa satu-satu keinginan hatinya adalah untuk mengenal Kristus Yesus secara peribadi lagi intim dengan mengenal kuasa yang telah membangkitkan Yesus, turut merasai penderitaan-Nya dan menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya. Bagaimanapun, dengan jujurnya Paulus tidak mahu disalah faham bahawa dia telah mencapai keinginan hatinya itu.
Itulah sebabnya Paulus mengakui bahawa dia belum lagi berjaya melakukan semua yang harus dilakukannya ataupun sudah menjadi sempurna. Namun demikian, dia terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Apa yang harus dilakukannya adalah untuk terus-menerus berusaha mencapai tujuan Kristus Yesus bagi dirinya, iaitu menjadikan dirinya milik-Nya.
Demi memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus bagi dirinya, maka Paulus harus terus-menerus berusaha berakrab dengan Yesus dalam perlumbaan iman ini. Paulus berusaha dengan sungguh-sungguh tanpa berpuas hati dengan apa yang dicapainya setakat ini. Dia harus memusatkan seluruh jiwa raganya kepada hadiah yang disediakan Tuhan Yesus bagi dirinya.
Pendek kata, Paulus tidak menganggap dirinya sudah sempurna secara rohani. Dia menekankan bahawa kasih kurnia Allah mendorong orang Kristian terus berusaha secara aktif untuk mencapai kematangan rohani dan keakraban dengan Kristus. Menjadi suci lagi sempurna merupakan satu proses yang akan mengambil masa sepanjang hayat dan tidak mungkin berlaku dengan kadar segera.
Bagaimanakah dengan diri kita? Kita juga belum melakukan semua yang harus kita lakukan ataupun sudah menjadi sempurna. Adakah kita terus-menerus mengejar kematangan hidup rohani sehingga garis terakhir? Marilah kita berlari dengan gigih dalam perlumbaan iman yang ditentukan bagi kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku bersyukur kerana Engkau akan menyempurnakan hal ehwalku. Kasih-Mu kekal selama-lamanya. Janganlah tinggalkan hasil kerja tangan-Mu. Dalam-Mu aku dapat mengakhiri perlumbaan iman dengan baik. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments