top of page

Teruslah Berdoa, kerana Dia Allah yang Tahu Memberikan yang Terbaik

ree

“Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya!” Lukas 11:13 AVB

 

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa sekiranya bapa mereka yang ada di dunia ini tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak, apalagi Bapa mereka yang di syurga. Dia lebih lagi tahu memberi mereka yang terbaik, bahkan Dia akan memberikan  Roh Kudus kepada mereka yang meminta daripada-Nya.

 

Oleh itu, mereka tidak harus waswas memohon berkat daripada Bapa syurgawi mereka kerana Dia tentu akan memberikan apa yang baik kepada mereka. Mereka hendaklah tidak jemu-jemunya  meminta,  mencari dan  mengetuk. Sebab Bapa mereka yang di syurga ialah Bapa yang  Maha Baik.

 

Sikap untuk terus berdoa dengan tidak henti-henti menunjukkan seseorang itu betul-betul percaya kepada Allah. Sebab berdoa ialah cara seseorang yang percaya datang menghadap Allah untuk memohon sesuatu atau meluahkan isi hatinya kepada-Nya.

 

Ingatlah untuk bertekun dalam doa dan sentiasa yakin bahawa Allah sebagai Bapa yang baik sama sekali tidak akan mendatangkan musibah kepada kita tetapi Dia akan  memberikan yang terbaik kepada kita yang terus meminta, mencari dan mengetuk.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus-menerus berdoa memanjatkan segala permohonanku kepada-Mu. Yakinkan  hatiku sewaktu aku berdoa kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page