Tetap Bertahan Dalam Kesusahan
- Komuniti Digital 05

- 1 day ago
- 1 min read

“Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan nyawamu.” Lukas 21:19 AVB
Yesus mendorong semua orang yang telah memutuskan untuk mengikut-Nya supaya mereka tetap bertahan dalam segala kesusahan yang diharungi mereka dalam hidup ini. Dengan berbuat demikian, mereka akan menyelamatkan nyawa mereka sendiri untuk memperoleh hidup yang sejati.
Terdapat beberapa penjelasan tentang erti “mengikut Yesus”. Antaranya, seseorang itu tidak lagi mengikut sesiapa pun melainkan Tuhan Yesus. Mengikut Yesus juga dijelaskan sebagai berusaha untuk menjadi seperti Yesus dengan mematuhi ajaran-Nya atau menyerahkan seluruh hidup kita untuk melakukan kehendak-Nya sehingga Dia betul-betul hidup dalam kita.
Mengikut Yesus bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan tetapi dalam-Nya kita dapat mengatasi segala kesusahan yang kita lalui kerana Dia akan memberikan kekuatan kepada kita. Dengan itu, kita harus tetap beriman dan berpegang teguh pada janji-janji-Nya ketika menempuh penderitaan atau penganiayaan agar kita tidak lemah semangat atau berpaling tadah.
Tetap bertahanlah dalam segala kesusahan, kelemahan, celaan, kesempitan, dan penganiayaan sehingga sampai ke garis akhir hidup kita. Kasih kurnia Allah adalah cukup bagi kita kerana kekuatan Allah menjadi sempurna dalam kelemahan kita. Di penghujung perjalanan hidup pasti sesuatu yang terbaik disediakan oleh Allah untuk setiap kita yang tetap taat setia kepada-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, inilah aku. Segala yang ada dalam hidupku milik-Mu. Tanpa Engkau, hidup ini tidak bererti. Ya Bapa, teguhkan imanku dan ajarlah aku untuk bersandar pada kasih kurnia, pertolongan dan bimbingan-Mu. Terima kasih kerana kuasa Kristus menaungi aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments