top of page

Tetap Hidup Benar di Hadapan Allah

ree

Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.  Lukas 22:2 AVB

 

Sewaktu semua orang mempersiapkan diri mereka untuk menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paskah, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat berhimpun lalu berpakat untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Akan tetapi, mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Bayangkan pemimpin-pemimpin agama itu tergamak merancang suatu jenayah besar (bunuh orang) semasa menyambut perayaan yang begitu penting dan bermakna bagi orang Israel.

 

Diketahui bahawa orang ramai menyenangi Tuhan Yesus. Para ketua imam dan ahli Taurat pun tidak berani bertindak secara terbuka atau terang-terangan. Jadi, mereka merancang komplot mereka secara tersembunyi agar orang ramai tidak mengetahui tipu daya mereka lalu merusuh.

 

Oleh sebab orang ramai menyambut baik ajaran Yesus, semua rancangan para ketua imam dan ahli Taurat sebelum ini menemui kegagalan. Walaupun demikian, mereka tetap tidak berputus asa terhadap pakatan sulit mereka. Itulah sebabnya mereka sentiasa mengikut Yesus ke mana sahaja Dia pergi. Mereka mahu mencari kesalahan-Nya agar mereka dapat menuduh-Nya.

 

Marilah kita menyelidiki diri kita dan menyelami isi hati kita. Bagaimanakah sikap kita sewaktu kita mahu merayakan sesuatu perayaan yang diadakan? Apakah kita memiliki sikap seperti para ketua imam dan ahli Taurat yang sentiasa mencari peluang untuk melakukan sesuatu yang mendukakan hati Allah? Atau kita mahu memuliakan Allah dan menyenangkan hati-Nya? .

 

Sesungguhnya, jangan takut akan golongan orang yang berpura-pura benar dan suci, berpakaian domba tetapi sebenarnya serigala licik lagi ganas. Sebab selagi kita melakukan segala sesuatu yang benar di hadapan Allah, maka pasti Allah akan melindungi kita daripada orang yang sentiasa cuba menuduh dan mengancam diri kita. Tetap hidup benar di hadapan Allah sepanjang hayat kita. 

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon bimbingan dan perlindungan daripada-Mu. Ajarlah aku terus mengikut jalan-Mu setiap hari dan tidak melakukan apa-apa yang mendukakan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page