Tiap-Tiap Pagi Orang Ramai Datang Mendengar Yesus
- Dec 31, 2025
- 1 min read

Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke Bait Suci untuk mendengar Dia. Lukas 21:38 AVB
Pada awal pagi lagi orang ramai sudah bangun kerana mereka mahu pergi ke Bait Suci untuk mendengar ajaran Tuhan Yesus. Orang ramai sangat rindu untuk mendengar Yesus mengajar mereka kerana mereka kagum dengan ajaran-Nya dan kebijaksanaan yang ada pada-Nya. Jelas sekali bahawa Yesus mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli-ahli Taurat mereka.
Setiap hari Yesus mengajar di dalam Bait Suci. Sebenarnya, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para pemimpin orang Yahudi mencari jalan untuk membunuh-Nya tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian. Orang ramai terus-menerus datang mendengar Yesus kerana mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Yesus pun. Walaupun para ketua imam dan ahli Taurat berusaha menghasut orang ramai untuk melawan Yesus, rancangan mereka gagal.
Orang ramai tidak peduli dengan apa yang dikatakan oleh para ketua imam dan ahli Taurat kepada mereka. Mereka terus datang berduyung-duyung kepada Yesus. Hati orang ramai dipenuhi dengan sukacita ketika mendengar ajaran Tuhan Yesus yang penuh wibawa. Oleh itu, mereka sanggup bangun awal-awal lagi untuk pergi ke Bait Suci kerana jiwa mereka dahaga dan lapar akan ajaran Tuhan Yesus.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita memiliki kerinduan seperti orang ramai tersebut? Awal-awal pagi lagi, mereka sudah bangun untuk pergi ke Bait Suci untuk mendengar firman Allah daripada Yesus. Sanggupkah kita bangun awal untuk mendengar Allah berfirman kepada kita melalui Alkitab?
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, biarlah jiwaku haus akan firman-Mu setiap hari. Semoga kerinduanku akan firman-Mu semakin bertambah dari hari ke hari kerana kebenaran firman-Mu betul-betul menyegarkan hidupku dan meneguhkan imanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments