Tidak Menoleh ke Belakang
- Komuniti Digital 05
- Jun 2
- 1 min read

Yesus berkata kepadanya, “Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.” Lukas 9:62 AVB
Sewaktu Yesus dan murid-murid-Nya menuju ke Yerusalem, Dia mengajak dua orang untuk mengikut-Nya. Mereka yang diajak oleh Yesus untuk mengikut-Nya mahu mengikut-Nya tetapi mereka meminta Yesus membenarkan mereka untuk melakukan sesuatu terlebih dahulu sebelum dapat mengikut-Nya.
Atas alasan yang diberikan oleh dua orang itu, Yesus menegur mereka dengan berkata, “Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.”
Hal ini bererti bahawa “tidak ada orang akan dapat membajak tanah dengan baik sekiranya dia asyik melihat ke belakang, atau menoleh-noleh ke belakang. Sebab sekiranya dia terus-menerus menoleh ke belakang, maka banyaklah bahagian tanah yang baik tidak akan terbajak. Akibatnya, tanah itu akan menjadi tanah yang tidak baik atau sesuai untuk ditabur dengan benih.
Dengan kata lain, sekiranya seseorang itu mahu mengikut Yesus dan menuai keuntungan seperti orang lain yang mengikut-Nya, maka dia tidak seharusnya asyik menoleh ke belakang kepada hidup kebiasaannya di dunia atau merindukan hidup dulu lagi. Tegasnya, seseorang yang masih memiliki sikap begini tidak layak untuk menikmati Kerajaan Allah.
Demi mengikut Yesus kita harus melupakan segala kepentingan diri kita, menyangkal diri dan mengikut-Nya dengan sepenuh hati.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu. Tolonglah aku sentiasa mengutamakan kehendak-Mu. Ajarlah aku untuk memuliakan nama-Mu dengan seluruh hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments