Tidak Putus-Putus Mendoakan Saudara Seiman
- 4 days ago
- 2 min read

Oleh itu aku juga, setelah mendengar bahawa kamu beriman kepada Tuhan Yesus dan mengasihi semua orang yang salih, tidak putus-putus bersyukur tentangmu dan menyebutmu dalam doaku. Efesus 1:15-16 AVB
Rasul Paulus telah menerima berita tentang jemaah di Efesus yang amat menghiburkan hatinya ketika dia terkurung di penjara. Dia mendengar bahawa mereka sudah percaya kepada Tuhan Yesus dan sangat mengasihi semua umat Allah. Maka dia tidak putus-putus bersyukur tentang iman mereka dan menyebut mereka dalam doanya kepada Allah.
Dalam Perjanjian Baru dua sifat terpuji ini , iaitu iman dan kasih, sentiasa berjalinan. Iman menghuraikan hubungan vertikal atau menegak dengan Yesus sementara kasih menggambarkan bagaimana iman dizahirkan dalam hubungan horizontal atau mendatar dengan saudara saudari dalam jemaah. Oleh sebab iman mereka sangat teguh dalam Tuhan Yesus, secara langsung mereka akan menunjukkan kasih mereka terhadap orang Kristian yang lain. Tegasnya, iman yang sejati dalam Yesus pasti akan membuahkan kasih yang jelas kelihatan untuk semua saudara saudari yang seiman.
Jadi, Paulus bukan sahaja menyebut jemaah di Efesus secara bersahaja tetapi dia terus bersyukur kepada Allah atas bukti kasih kurnia-Nya yang jelas kelihatan telah mengubah hidup mereka secara aktif dan berkesan. Mereka menyokong, menghargai dan mengambil berat satu sama lain. Kesyukuran Paulus telah menyebabkan dia sentiasa mengingati mereka ketika dia berdoa kepada Allah.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita memiliki hati yang sama seperti Paulus? Ketika dia mendengar tentang iman jemaah di Efesus kepada Tuhan Yesus, hatinya dipenuhi dengan kesyukuran sehingga dia sentiasa mengingati mereka sewaktu dia berdoa. Marilah kita meneladani Paulus untuk sentiasa bersyukur kepada Allah dan mendoakan jemaah supaya mereka bertumbuh matang secara rohani dan sangat giat dalam pelayanan.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang mengucap syukur atas iman dan kasih saudara saudari dalam jemaah. Ajarlah aku terus berdoa bagi mereka, agar mereka tetap giat dan bersemangat waja melayani-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments