Tidak Takut Akan Tentangan
- 17 hours ago
- 2 min read

... dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuhmu. Bagi mereka, ini adalah tanda kebinasaan tetapi bagimu adalah tanda penyelamatan daripada Allah. Filipi 1:28 AVB
Paulus menggesa saudara saudari dalam Kristus di Filipi untuk memastikan kelakuan mereka selaras dengan Injil Kristus. Dengan demikian, sama ada dia datang mengunjungi mereka ataupun tidak, dia akan dapat mendengar bahawa mereka berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil, dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuh mereka.
Betapa pentingnya mereka menghadapi setiap serangan musuh mereka dengan menjalani hidup yang berlandaskan Injil atau Berita Baik mengenai Kristus Yesus. Pendek kata, mereka hendaklah hidup taat setia bukan sahaja sebagai warga Filipi tetapi lebih-lebih lagi sebagai warga syurga yang hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Injil tentang Kristus. Dengan berbuat demikian, maka mereka dapat mengalahkan setiap orang yang menentang Injil.
Tegasnya, sudara saudari dalam Kristus di Filipi haruslah berani dan tidak takut sedikit pun terhadap orang yang menganiaya atau menentang diri mereka. Sebaliknya, mereka harus tetap tabah hati dan teguh dalam iman mereka kepada Kristus. Apabila mereka tidak berpaling tadah daripada iman mereka sekalipun dianiaya, itulah satu tanda kepada musuh atau penganiaya mereka bahawa perbuatan jahat musuh sebenarnya menentang Allah dan pihak musuh akan dibinasakan. Sebab kesetiaan dan keberanian mereka itulah yang akan membuktikan bahawa musuh yang menganiaya atau menentang diri mereka akan dikalahkan, tetapi Allah sendiri akan menyelamatkan mereka. Bagi musuh mereka, itulah tanda kebinasaan tetapi bagi mereka ialah tanda penyelamatan daripada Allah.
Oleh itu, kita jangan sekali-kali takut menghadapi mereka yang menentang atau menganiaya kita pada hari ini kerana Tuhan Yesus. Kita harus menghadapi mereka dengan menjalani hidup yang benar berdasarkan kebenaran firman Allah setiap hari. Sebab kita akan berkata kepada mereka bahawa Allah bersama kita dan di pihak kita. Kemampuan untuk berdiri teguh, janji penyelamatan dan kemenangan yang akan dicapai adalah daripada Allah dan bukan daripada kekuatan diri kita sendiri. Sesungguhnya, kepada kita telah dikurniakan bagi pihak Kristus, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk berani menghadapi setiap tentangan dan celaan dengan menjalani hidupku berdasarkan kebenaran firman-Mu. Kuatkan imanku untuk sentiasa yakin bahawa jika Engkau berpihak kepadaku, siapa dapat melawan aku! Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments